Kuala Lumpur: Selangor lebih selesa dilabel sebagai ‘underdog’
apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini bagi aksi
kelapan Liga Super berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkara itu diluahkan pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad
selepas mengambil kira reputasi besar yang dipegang skuad Harimau Selatan
ketika ini.
Sedar dengan kekuatan yang dimiliki JDT, Abdul Rauf bagaimanapun
tetap menaruh harapan tinggi buat Red Giants yang hanya akan membariskan dua
pemain import untuk menjadi pasukan kedua meraih kemenangan di Larkin musim ini
selepas Pahang.
“Setakat ini kami berada pada tahap terbaik walaupun ketiadaan
Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn. Kehadiran semula Willian Pacheco menguatkan
lagi barisan pertahanan selain dibantu dengan prestasi cemerlang pemain muda,”
kata Abdul Rauf.
“Jadi, kita meletakkan harapan yang tinggi kepada pemain ini
yang orang kata sebagai ‘ubi muda’ untuk menunjukkan sesuatu. Kami ke sana
(Larkin) sebagai pasukan bukan pilihan memandangkan reputasi besar yang
dimiliki JDT.
“Walaupun hanya akan beraksi dengan dua import (Rufino Segovia
dan Pacheco), kami percaya dengan barisan pemain yang sedia ada mampu
memberikan persembahan terbaik.”
Evan dan Ilham tidak bersama Red Giants selepas menyertai skuad
Bawah 23 (B-23) tahun Indonesia bagi menghadapi kejohanan Piala Ulang Tahun
Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).
Ketiadaan mereka bagaimanapun dilihat tidak memberi kesan yang
besar buat Selangor apabila anak didik Nazliazmi Mohamad Nasir berjaya mencipta
kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Meskipun melabelkan pasukannya sebagai bukan pilihan, Abdul Rauf
tetap berharap Red Giants mampu mencuri tiga mata berharga dari gelanggang
keramat JDT.
“Harapan sudah pasti nak menang walaupun bukan pasukan pilihan
dan kami sedar kemampuan kami. Harapan kami memang tinggi untuk pasukan
mendapatkan tiga mata.
“Kami
perlukan mata untuk memperbaiki kedudukan selepas berada di kelompok
pertengahan dalam carta liga. Walaupun beraksi di gelanggang lawan, tapi kami
tetap yakin bahawa tiada benda yang mustahil,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan