KUALA LUMPUR: Adakah bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais akan kembali mengendalikan skuad Harimau Selatan itu pada musim hadapan?
Persoalan itu ditimbulkan selepas kenyataan pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dimuat naik menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.
Menerusi kenyataan terbabit, Tunku Ismail melontarkan keyakinan betapa pengendali kelahiran Portugal itu akan kembali untuk menyelesaikan tugasnya bersama pasukan itu yang ditinggalkannya sejak Februari lalu.
"Saya rasa dalam banyak-banyak jurulatih yang saya pernah bekerjasama sejak penjenamaan semula pasukan JDT, beliau adalah jurulatih yang paling saya senang bekerjasama dan juga jurulatih yang paling bagus," kata Tunku Ismail.
"Bukan sahaja dari segi taktikal dan permainan tetapi dari segi cara beliau bersemuka dan menambat hati pemain secara individu. Saya banyak belajar daripada beliau dan saya yakin satu hari nanti beliau akan kembali.
"Sebab mengapa saya tidak mencari atau mengambil mana-mana jurulatih lain adalah kerana saya tahu Ulisses Morais akan kembali. Beliau terpaksa berundur dari JDT kerana perlu menyelesaikan masalah keluarga beliau di Portugal.
"Oleh itu, saya cuma menanti Morais kembali manakala Raul hanya sebagai penjaga pasukan untuk sementara. Sebab itu saya tidak menandatangani jurulatih baharu."
Dengan status pengendali sedia ada, Raul Longhi yang sekadar menjadi pengendali sementara, sudah tentu Morais tidak berdepan masalah untuk dilantik sekali lagi sebagai pengendali JDT buat kali kedua.
Morais mengecapi beberapa kejayaan membanggakan sejak bersama JDT, Jun lalu termasuk menjuarai Liga Super buat kali keempat berturut-turut selain mencipta sejarah baru kelab apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama.
Namun, jodohnya bersama JDT hanya bertahan sembilan bulan apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan atas faktor kesihatan keluarga, Februari lalu.
Ulasan
Catat Ulasan