Longhi tetap tenang jurang 6 mata



PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menikmati jurang enam mata bagi mengatasi pencabar terdekat, Perak gagal menambah kelebihan itu apabila sekadar mencuri satu mata ketika menentang PKNS FC, malam tadi.

Pengendalinya, Raul Longhi menjelaskan perbezaan enam mata dimiliki skuad Harimau Selatan ketika ini masih meletakkan pasukan itu untuk berada dalam keadaan agak selesa namun menegaskan mereka perlu tampil dengan lebih baik bagi memastikan tiga mata dapat dipungut pada aksi akan datang.
“Perbezaan enam mata masih memberikan kelebihan kepada kami. Kami masih mempunyai beberapa perlawanan sukar selepas ini namun saya merasakan perbezaan enam mata ketika ini baik buat kami.
“Perlawanan seterusnya iaitu menentang Perak yang saya anggap penting. Kami akan cuba sehabis baik untuk memenangi perlawanan itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam itu, venue di Lembah Klang terus menghadirkan ‘rasa kurang senang’ buat anak buah Longhi apabila terpaksa akur diikat tanpa jaringan oleh PKNS.
Selepas sekadar tewas sekali dan seri sekali dalam dua aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebelum ini, mereka sekali lagi tersentak apabila gagal meraih mata penuh buat kali ketiga apabila diikat PKNS – satu lagi pasukan Lembah Klang.
Mengulas lanjut prestasi anak buahnya ketika bertemu skuad ‘Semut Merah’ itu, pengendali kelahiran Argentina itu mengakui barisan serangannya mengalami masalah memecah kebuntuan dengan keadaan padang kurang baik yang menyukarkan mereka memburu gol.
“Kami berjaya mencipta beberapa peluang dan mendominasi perlawanan, cuma nasib tidak menyebelahi kami untuk menghasilkan jaringan. Saya tidak gembira kerana gagal membawa pulang mata penuh.
“Apapun, pemain sudah memberikan aksi terbaik selepas rehat dan saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pada babak kedua walaupun hakikatnya kami gagal meraih kemenangan,” katanya.

Ulasan