ANDAI Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu mencipta sejarah menjuarai
Liga Super lima musim berturut-turut, mereka terlebih dulu perlu membaiki
benteng pertahanan bagi mengelak kesilapan sama dengan melepaskan dua gol dalam
tempoh dua minit ketika menentang Selangor, Sabtu lalu.
Pengendali JDT Raul Longhi juga perlu lebih berani
mempelbagaikan taktikal sekiranya pemain utama cedera dan terlepas aksi
mana-mana perlawanan berikutan ketiadaan Natxo Insa yang tidak diturunkan pada
dua perlawanan lalu akibat kecederaan.
Ketika ketiadaan Insa menentang Selangor, barisan tengah JDT
hilang punca dan tidak mampu mengatur serangan berikutan tindakan Longhi
menurunkan dua pemain tengah pertahanan, Afiq Fazail dan Hariss Harun untuk
menyerap serangan The Red Giants.
Dalam perlawanan itu, walaupun diperkuatkan Marcos Antonio,
Fadhli Shas, Corbin Ong dan S Kunanlan, dua jaringan pantas Selangor
menyebabkan perlawanan berkesudahan seri 2-2 sekali gus merencatkan peluang
JDT.
Seharusnya perkara itu tidak berlaku jika pemain tengah dan
pertahanan JDT lebih berwaspada dan bijak mengawal gerakan serta lorongan
pemain skuad kendalian Nazliazmi Nasir.
Pengendali kelahiran Argentina itu mengakui perlu memantapkan
benteng pertahanan dan memberi ruang buat Adam Nor Azlin mahupun Aidil Zafuan
Abd Radzak beraksi dalam kesebelasan utama.
Keputusan
seri 2-2 itu menyebabkan JDT tidak boleh kehilangan mata pada aksi seterusnya
tatkala 25 mata dipungut selepas mengharungi 10 perlawanan bukan jaminan untuk
pasukan itu berada dalam kedudukan ketika Perak hanya ketinggalan lima mata.
Ulasan
Catat Ulasan