KUANTAN 5 April - Penyokong skuad Tok Gajah
yakin dengan kemampuan ketua jurulatih, Dollah Salleh melakukan strategi
permainan terbaik bagi menghadapi aksi suku akhir Piala FA menentang Johor
Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, di sini esok
Wakil kelab penyokong TokGajah.com, Azril Naim
Ahmad berkata, Pahang mampu menewaskan JDT dalam perlawanan itu walaupun
berdepan laluan berliku selepas ketiadaan penyerang import, Francis Forkey Doe
yang menjadi tonggak penting skuad Tok Gajah.
"Memang wujud sedikit bimbang kerana Forkey
Doe banyak membantu pasukan dalam perlawanan sebelum ini tetapi kita percaya
dengan barisan pemain yang ada dapat memberi khabar gembira buat penyokong Tok
Gajah.
"Kita percaya dan yakin skuad kendalian
Dollah ini mampu mencapai kemenangan di laman sendiri tanpa memberikan peluang
jaringan gol kepada JDT," katanya ketika ditemui semasa jualan tiket
perlawanan suku akhir tersebut di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini, hari
ini.
Azril Naim menasihatkan penyokong skuad Tok
Gajah supaya menjaga disiplin dan tidak melakukan sebarang provokasi ketika
menyaksikan perlawanan berkenaan.
Dia percaya kawalan keselamatan akan
diperketatkan pada perlawanan tersebut bagi mengelakkan berlakunya perkara
tidak diingini.
"Kita harapkan semua penyokong termasuk
daripada pasukan lawan dapat menjaga disiplin dan mengawal emosi ketika
perlawanan berlangsung. Pada masa sama, kita sebagai penyokong juga mahu
menyaksikan perlawanan secara bersih tanpa timbul provokasi dan
kekecohan," katanya.
Sementara itu, pemain tengah skuad Tok Gajah,
Mohamadou Sumareh bertekad membantu Pahang menewaskan JDT.
Tonggak import dari Gambia tersebut berkata, dia
akan berpuas hati sekiranya berjaya membantu Pahang memenangi kempen kejuaraan
Piala FA sekali gus mencapai misi menjulang piala pada musim ini.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia
mendapati, penyokong dan peminat skuad Tok Gajah sanggup beratur panjang di
pekarangan Stadium Darul Makmur bagi mendapatkan tiket untuk menyaksikan
perlawanan yang menjadi tumpuan tersebut.
Mereka dilihat beratur di kaunter jualan sejak
pukul 11 pagi meskipun tiket hanya dijual bermula pukul 2 petang.
Ulasan
Catat Ulasan