PASUKAN Selangor.
KUALA LUMPUR: Selangor
lebih selesa dilabel sebagai pasukan 'underdog' apabila bertandang ke
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok bagi aksi kelapan Liga Super
berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Perkara itu diluahkan
pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad selepas mengambil kira
reputasi besar yang dipegang skuad Harimau Selatan ketika ini.
Sedar dengan kekuatan yang
dimiliki JDT, Abdul Rauf bagaimanapun tetap menaruh harapan tinggi buat Red
Giants yang hanya akan membariskan dua pemain import untuk menjadi pasukan
kedua meraih kemenangan di Larkin musim ini selepas Pahang.
"Setakat ini kami
berada pada tahap terbaik walaupun ketiadaan Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.
Kehadiran semula Willian Pacheco menguatkan lagi barisan pertahanan selain
dibantu dengan prestasi cemerlang pemain muda," kata Abdul Rauf.
"Jadi kita meletakkan
harapan yang tinggi kepada pemain ini yang orang kata sebagai 'ubi muda' untuk
menunjukkan sesuatu. Kami ke sana (Larkin) sebagai pasukan bukan pilihan
memandangkan reputasi besar yang dimiliki JDT.
"Walaupun hanya akan
beraksi dengan dua import (Rufino Segovia dan Pacheco), kami percaya dengan
barisan pemain yang sedia ada mampu memberikan persembahan terbaik."
Evan dan Ilham tidak
bersama Red Giants selepas menyertai skuad Bawah 23 (B-23) tahun Indonesia bagi
menghadapi kejohanan Piala Ulang Tahun Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia
(PSSI).
Ketiadaan mereka
bagaimanapun dilihat tidak memberi kesan yang besar buat Selangor apabila anak
didik Nazliazmi Mohamad Nasir berjaya mencipta kemenangan 2-1 ke atas Negeri
Sembilan Sabtu lalu.
Meskipun melabelkan
pasukannya sebagai bukan pilihan, Abdul Rauf tetap berharap Red Giants mampu
mencuri tiga mata berharga dari gelanggang keramat JDT.
"Harapan sudah pasti
nak menang walaupun bukan pasukan pilihan dan kami sedar kemampuan kami.
Harapan kami memang tinggi untuk pasukan mendapatkan tiga mata.
"Kami perlukan mata
untuk memperbaiki kedudukan selepas berada di kelompok pertengahan dalam carta
liga. Walaupun beraksi di gelanggang lawan, tapi kami tetap yakin bahawa tiada
benda yang mustahil," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan