KUALA LUMPUR: Bekas pemain
Pahang, Kiko Insa menimbulkan spekulasi bakal menyarung jersi Johor Darul
Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka pada 7 Mei hingga
3 Jun ini.
Khabar angin itu mula
bertiup kencang sejak semalam selepas Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers
memuat naik gambarnya yang sedang menjalani latihan bersama skuad Harimau
Selatan.
Jika spekulasi itu benar,
Kiko bakal bergabung dengan abangnya Natxo Insa yang sudah menyertai skuad
juara Liga Super itu sejak musim lalu.
Malah, Kiko ketika ini
tidak terikat dengan mana-mana pasukan apabila meninggalkan Bangkok Glass pada
pertengahan bulan ini selepas tampil empat kali bersama kelab di liga utama
Thailand itu.
Kiko yang pernah membuat
penampilan bersama skuad Harimau Malaya memang tidak asing lagi dengan Liga M
selepas beraksi bersama Pahang sepanjang musim lalu.
Selain Kiko, bekas pemain
tengah Lyon, Harry Novillo yang sebelum ini disebut-sebut bakal memperkuatkan
skuad kendalian Raul Longhi itu juga kelihatan sudah menyertai latihan,
semalam.
Hasrat JDT untuk
mendapatkan khidmat Novillo sudah diumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin
Prest sebelum ini dengan pemain berusia 26 tahun itu akan menggantikan pemain
kelahiran Argentina, Jorge Pereyra Diaz.
"Kelab ini ingin mengalu-alukan
kehadiran Harry Novillo, bekas pemain Lyon dan Melbourne City serta sedang
bermain di Dubai ketika ini," kata Prest dalam kenyataannya pada 29 Mac
lalu.
"Dia akan menyertai
kami di JDT apabila jendela perpindahan dibuka nanti. Kelab ini berasa sukacita
dan gembira untuk memiliki pemain yang berkaliber, pemain muda yang dahagakan
sesuatu pencapaian terbaik."
Diaz sebelum ini dilaporkan
meninggalkan JDT pada Februari lalu sekali gus memaksa kelab berkenaan menunggu
hingga jendela perpindahan kedua untuk mencari pemain baharu.
Kehadiran Kiko dan Novillo
dijangka mampu memperkuatkan lagi skuad Harimau Selatan dalam usaha mereka
untuk mencipta sejarah memenangi kejuaraan Liga Super buat kali kelima
berturut-turut.
Ulasan
Catat Ulasan