JDT waspada layan Selangor


CABARAN getir menanti Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila melayani kunjungan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Skuad kendalian Raul Longhi yang sebelum ini berhempas pulas menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi di Kota Bharu, Jumaat lalu akan berdepan ranjau berliku menentang Selangor yang tampak sukar untuk dijinakkan.
Yang pasti, Longhi harus bijak mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri untuk memburu tiga mata bagi memastikan kedudukan tangga teratas tetap milik juara liga empat musim berturut-turut itu.
“Kita akan berdepan pasukan hebat dalam dua aksi seterusnya. Selepas menang ke atas Kelantan, kita mahu tiga mata lagi apabila menentang Selangor dan Negeri Sembilan.
“Seperti saya katakan, semua perlawanan diharungi amat penting dan kami harus beri persembahan konsisten untuk memburu kemenangan dan tidak boleh keciciran mata,” katanya.
Apapun, Longhi harus berwaspada dengan kelicikan pemain ‘otai' Selangor yang pernah beraksi bersama JDT, Amri Yahyah yang tahu tentang taktikal pasukan JDT dan boleh memberi ancaman.
Malah, pengendali kelahiran Argentina itu perlu menekankan corak permainan serangan dan bertahan lebih ampuh bagi mengelak sering ketinggalan tatkala pasukan lawan menjaring gol terlebih dahulu sehingga memaksa pemain JDT bangkit memburu kemenangan.
Walaupun pemain import baharu JDT, Harry Novillo sudah menjalani latihan bersama pasukan itu sejak petang semalam, kelibatnya tidak dapat diturunkan dan perlu menanti pada jendela perpindahan kedua pada 7 Mei ini termasuk kehadiran Kiko Insa yang turut menjalani latihan.
Bagaimanapun, persoalan terarah sejauh mana perancangan taktikal Longhi untuk menyerap tekanan skuad Gergasi Merah sama ada akan menggunakan formasi 4-3-3 atau 4-3-2-1 bagi mengelak kelicikan Rufino Segovia yang dianggap penyerang berbisa skuad kendalian Nazliazmi Mohd Nasir itu.
Pada perlawanan menentang Kelantan, Sabtu lalu, JDT ketinggalan menerusi jaringan pemain import dari Lubnan, Mohammad Ghaddar pada minit ke-11 hasil hantaran lintang Nik Akif Syahiran.
JDT bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Safiq Rahim minit ke-37 yang menyempurnakan sepakan penalti sebelum tandukan tandukan Ignacio Insa pada minit ke-82 memastikan mereka membawa pulang tiga mata.

Ulasan