JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tampak bersedia untuk memberi cabaran
apabila berdepan Pahang pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul
Makmur, Jumaat ini.
Jurulatih Harimau Selatan, Raul Longhi menegaskan semua pemain
berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan memberi sepenuh komitmen terhadap
latihan fizikal dan taktikal sepanjang tempoh rehat saingan Liga Malaysia
(Liga-M).
Bagaimanapun, Longhi berkata, S Kunanlan mungkin tidak dapat
diturunkan selepas mengalami kecederaan di buku lali dan tahap kecergasan
pemain itu dipantau oleh pegawai fisioterapi untuk memastikan dia pulih
sepenuhnya.
“Jika Kunanlan tidak dapat diturunkan, kami masih ada pemain
gantian yang boleh mengisi posisi pertahanan kanan dan senario itu tidak
menggusarkan saya kerana pemain simpanan memiliki kualiti setanding.
“Saya akui pertembungan dengan skuad kendalian Dollah Salleh
tampak sukar kerana mereka pasti mahu menggunakan kesempatan beraksi di laman
sediri tapi kami tetap bersedia untuk menang pada aksi itu dan harus memperagakan
corak permainan bijak.
“Falsafah dalam JDT mengutamakan mentaliti positif dan sentiasa
beraksi konsisten kerana ia penting untuk memburu kemenangan. Suku akhir
dijalankan secara timbal balik dan kami perlu memberi lebih 100 peratus pada
aksi pertama dan mengekalkan momentum pada baki 90 minit di Larkin selepas
ini,” katanya.
Perancangan taktikal Longhi bukan untuk bertahan apabila
bertandang ke Kuantan, Jumaat ini, sebaliknya tetap dengan percaturan memburu
kemenangan tatkala beliau tampak mahu menebus kekalahan 3-4 musim lalu yang
menyebabkan JDT gagal ke separuh akhir.
Longhi
berkata, pemain memahami perancangan formasi yang dibentuk dan mereka mampu
mengubah mengikut kesesuaian rentak permainan dan keutamaan adalah memperagakan
aksi konsisten selain tidak melakukan kesilapan mudah.
Ulasan
Catat Ulasan