BEKAS pemain Pahang, Kiko Insa menimbulkan spekulasi bakal
menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua yang
akan dibuka pada 7 Mei hingga 3 Jun ini.
Khabar angin itu mula bertiup kencang sejak semalam selepas
Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers memuat naik gambar pemain itu sedang
menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan di Pusat Latihan Padang Seri
Gelam.
Jika spekulasi itu benar, Kiko bakal bergabung dengan abangnya
Natxo Insa yang sudah menyertai skuad juara Liga Super itu sejak musim lalu.
Malah, Kiko ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan
apabila meninggalkan Bangkok Glass pada pertengahan bulan ini selepas tampil
empat kali bersama kelab di liga utama Thailand itu.
Kiko yang pernah membuat penampilan bersama skuad Harimau Malaya
memang tidak asing lagi dengan Liga M selepas beraksi bersama Pahang sepanjang
musim lalu.
Selain Kiko, bekas pemain tengah Lyon, Harry Novillo yang
sebelum ini disebut-sebut bakal memperkuatkan skuad kendalian Raul Longhi itu
turut kelihatan sudah menyertai latihan, semalam.
Hasrat JDT untuk mendapatkan khidmat Novillo sudah diumumkan
Pengarah Sukan JDT, Martin Prest sebelum ini dengan pemain berusia 26 tahun itu
akan menggantikan pemain kelahiran Argentina, Jorge Pereyra Diaz.
“Kelab ini ingin mengalu-alukan kehadiran Harry Novillo, bekas
pemain Lyon dan Melbourne City serta sedang bermain di Dubai ketika ini,” kata
Prest dalam kenyataannya pada 29 Mac lalu.
“Dia akan menyertai kami di JDT apabila jendela perpindahan
dibuka nanti. Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain
berkaliber, pemain muda dahagakan sesuatu pencapaian terbaik.”
Diaz sebelum ini meninggalkan JDT pada Februari lalu, sekali gus
memaksa kelab berkenaan menunggu hingga jendela perpindahan kedua untuk mencari
pemain baharu.
Kehadiran
Kiko dan Novillo dijangka mampu memperkuatkan lagi skuad Harimau Selatan dalam
usaha mereka untuk mencipta sejarah memenangi kejuaraan Liga Super buat kali
kelima berturut-turut.
Ulasan
Catat Ulasan