Jangan berani buat onar






KUANTAN: Penyokong yang menyaksikan perlawanan suku akhir pertama Piala FA antara Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam esok diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi sehingga menggugat ketenteraman awam.






Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, penyokong kedua-dua pasukan juga diminta menjaga tatasusila masing-masing ketika berada di luar dan dalam stadium bagi mengelakkan berlaku sebarang insiden tidak diingini.






“Elakkan membuat provokasi hingga mencetuskan kekacauan pada sebelum, semasa dan selepas perlawanan. Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak cuba mencetuskan pergaduhan.






“Paparan serta penyebaran sebarang bentuk provokasi di media sosial juga boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.






Mohd Noor turut mengingatkan penyokong supaya tidak membawa barangan atau objek larangan ke stadium seperti suar, mercun dan objek tajam.





Katanya, mereka yang ingkar boleh ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang.






“Kita harap kedua-dua penyokong pasukan saling menghormati antara satu sama lain dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang perlawanan berlangsung.


Mereka juga dinasihatkan datang lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas. Pintu masuk akan dibuka pada jam 6 petang,” katanya.


Ulasan