Insa tabik 'ubi muda' Kelantan



PENYERANG JDT Muhammad Safawi Rasid (tengah) dikekang pemain muda Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tonggak tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa 'tabik' dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan barisan pemain muda Kelantan ketika pertembungan kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi. 
Insa mengakui permainan pantas yang dipamerkan 'ubi muda' skuad dari Pantai Timur itu memberikan kesukaran kepada Harimau Selatan sebelum berjaya meraih kemenangan tipis 2-1.
"Pasukan Kelantan mempunyai pemain yang hebat. Mereka juga mempunyai pemain muda yang amat laju dan memiliki kemahiran permainan yang hebat.
"Sepanjang 20 minit pertama kami berdepan kesukaran hingga mereka berjaya menjaringkan gol. Namun, babak kedua kami bermain dengan lebih baik dan perlawanan juga menjadi sukar kerana keadaan padang tidak begitu baik.
"Apa yang penting kami berjaya memenangi perlawanan pada malam ini (tadi), tiga mata berharga dan kami berada di kedudukan paling atas dalam carta liga," katanya dalam kenyataan di Facebook, JOHOR Southern Tigers, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super dengan mengutip 18 mata selepas tujuh perlawanan, manakala Kelantan kekal di zon penyingkiran dengan hanya lima mata.
Selain itu, Insa mengingatkan rakan sepasukannya untuk mengekalkan prestasi positif dalam memastikan misi JDT menjulang kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut tercapai.
"Amat penting bagi saya membantu pasukan kerana kami adalah satu keluarga. Pada waktu susah kami bersama, dan senang juga bersama. Kami berada di kedudukan pertama dalam liga dan perlu mengekalkan keadaan positif ini.
"Saya rasa kami boleh menang kerana kami adalah pasukan juara dan pabila keadaan menjadi sukar, iaitu sewaktu anda sedang ketinggalan dalam perlawanan tetapi anda berjaya mengubahnya, ia satu perasaan yang amat menyeronokkan," katanya.

Ulasan