Fadhli tekad tebus kehampaan musim lalu


FADHLI Shas kekal selaku tonggak utama benteng JDT. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

JOHOR BAHRU: Aksi konsisten sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini membolehkan Fadhli Shas kekal selaku tonggak utama benteng Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pertembungan menentang Pahang pada suku akhir pertama Piala FA bagaikan ujian besar buat pemain itu.
Malah Fadhli menyifatkan pertembungan menentang skuad kendalian Dollah Salleh ibarat pentas `final' walaupun ia aksi suku akhir dan keazaman mengekalkan corak permainan konsisten begitu menebal seandai diturunkan pada aksi di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Bekas pemain Harimau Muda itu tidak menolak betapa kekuatan fizikal dan mental memainkan peranan penting buat dia dan rakan sepasukan untuk berdepan barisan pemain skuad Tok Gajah yang pasti menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mencatat kemenangan.
"Aksi menentang Pahang, sama seperti skrip musim lalu. Namun ketika itu kita tewas dengan agregat 3-4 dan pastinya saya dan rakan sepasukan berazam tidak mahu kekecewaan sama berulang malah persiapan kami untuk berdepan mereka tampak lebih mantap.
"Kami belum berjumpa Pahang dalam saingan Liga Super dan aksi suku akhir Piala FA bagaikan ujian buat kami bukan sahaja menebus kekalahan musim lalu malah ia dianggap pertembungan buku dengan ruas, kami harus tenang dan tidak boleh tertekan pada perlawanan itu nanti.
"Kita beraksi di tempat lawan, jadi kekuatan mental memainkan peranan penting pada perlawanan itu dan saya sendiri sebagai pemain tidak kira sama ada diturunkan atau sebaliknya harus menyiapkan diri dan sentiasa positif untuk beraksi nanti," katanya.
Fadlhi menegaskan tidak kira ia perlawanan suku akhir Piala FA atau saingan Liga Super dia harus memberi sepenuh tumpuan dalam perlawanan kerana jika hilang fokus walaupun sesaat, ia pasti mengundang bahaya tatkala pasukan lawan pantas mengambil kesempatan untuk merobek gawang skuad Harimau Selatan.
Malah dia menganggap barisan serangan skuad Tok Gajah masih berbahaya walaupun tanpa kelibat Francis Forkey Doe yang cedera kerana pasukan itu memiliki Mohamadou Sumareh dan Norsharul Idlan Talaha yang mampu melenyapkan impian JDT memburu kemenangan.
Katanya, bukan sekadar 100 peratus bersedia pada perlawanan itu tetapi prestasi harus berada dalam keadaan 120 peratus untuk beraksi dengan taktikal dibentuk jurulatih, Raul Longhi sepanjang latihan ketika saingan Liga M berehat.
"Kita harus serap tekanan kerana aksi pertama kita bermain di tempat lawan, sepanjang 90 minit perlawanan kita tidak boleh leka malah perlu lihat segala aspek kekuatan Pahang, kita ada 11 pemain dan mereka juga 11 pemain.
"Apa yang kami lakukan adalah untuk fokus memburu keputusan positif dan mengelak gawang dibolosi kerana dengan kemenangan ia pasti melonjak keyakinan untuk mengharungi aksi suku akhir kedua di Larkin, kelak," kata Fadhli.

Ulasan