Dollah buru kelebihan selesa

DOLLAH SALLEH

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mahu skuadnya berusaha mencatat keputusan selesa pada suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Justeru, beliau mengharapkan kesebelasan utama yang diberi tanggungjawab dapat menjalankan peranan masing-masing untuk memastikan kemenangan buat skuad Tok Gajah.
Namun, bekas pemain kebangsaan itu mengakui bukan tugas mudah untuk menewaskan Harimau Selatan yang sememangnya diketahui memiliki barisan pemain berpengalaman.
“Kami memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri. Sudah pasti saya harap kemenangan selesa diraih sebagai bekalan apabila bertandang ke Larkin nanti.
“Sokongan padu daripada penyokong juga diharap membantu memberi semangat kepada pemain untuk beraksi dengan baik,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang yakin Tok Gajah akan mencatat kemenangan selesa untuk mencapai misi ke pentas final.
Katanya, persediaan rapi yang dilakukan Dollah terutama memantapkan jentera pasukan di bahagian serangan diyakini mencatat keputusan positif.
“Saya yakin dengan komitmen semua pemain dan kelebihan yang ada apabila beraksi di laman sendiri akan meningkatkan lagi motivasi kepada pemain,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan pada suku akhir Piala FA musim lalu, skuad Tok Gajah mengecewakan Harimau Selatan itu menerusi agregat 4-3.

Ulasan