PEMAIN pertahanan TFC,
Igor Zonjic (kanan) tekad sekat barisan depan JDT. - FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
KUALA TERENGGANU: Tidak
gentar dengan reputasi barisan penyerang skuad Johor Darul Ta'zim (JDT),
pertahanan kental skuad Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic melaungkan
amaran akan melakukan kejutan terhadap lawan itu di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, pada Sabtu ini.
Ketika kedua-dua pasukan
teratas Liga Super itu bakal membuat perhitungan dalam aksi kelima dengan bekas
pemain kebangsaan Montenegro berketinggian 1.85 meter itu tidak memikirkan
status lawan sebagai pasukan terbaik Liga Malaysia (Liga M).
Dia sebaliknya berikrar
tampil dengan aksi lebih cemerlang bagi mematahkan setiap gerakan pemain skuad
kendalian ketua jurulatih baharu, Raul Longhi yang pasti mengidam untuk
mengutip tiga mata dalam aksi dijangka sengit itu.
Pemain berusia 27 tahun
kelahiran Belgrade, Yugoslavia itu juga tidak rela pintu gol pasukannya
dibolosi di depan penyokong sendiri walaupun sedar bukan tugas mudah buatnya
dan rakan sepasukan menyekat rangkaian penyerang skuad Harimau Selatan diketuai
Luciano Figueroa itu.
"Sasaran pasukan
adalah untuk mencatat kemenangan dan secara peribadi saya dan rakan sepasukan
sudah bersedia menyekat rangkaian penyerang JDT daripada membolosi gawang skuad
kami biarpun lawan tanpa kehadiran penyerang sensasinya, Jorge Pereyra
Diaz.
"Selain itu, prestasi
terbaik pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga
turut menambah lagi keyakinan kami untuk menundukkan mereka dan semestinya kami
tidak gerun dengan reputasi skuad itu sambil berharap kemenangan akan berpihak
kepada kami, " kata Zonjic yang kali pertama beraksi dalam pentas Liga M
musim ini.
Pertembungan skuad Penyu
dengan Harimau Selatan itu yang kini masing-masing menghuni dua tangga teratas
Liga Super bakal menjadi tumpuan kerana kedua-duanya berpeluang memimpin carta
liga dengan mengutip sembilan dan lapan mata.
Jika TFC berjaya mencatat
kemenangan ataupun seri, pasukan tunggal yang masih belum tewas itu mampu merampas
kembali takhta teratas liga.
Mengulas lanjut, Zonjic
berkata dia tetap waspada dan tidak akan mengambil mudah pertemuan itu meskipun
beraksi di laman sendiri kerana skuad Harimau Selatan mempunyai kekuatan dan
aura tersendiri.
"Sebagaimana kita tahu
JDT adalah pasukan yang mantap di setiap posisi selain wakil Malaysia dalam
saingan Piala AFC dan ini sudah pasti tidak mudah buat kami apatah lagi rekod
terbaik pasukan itu menjuarai liga empat tahun berturut-turut.
"Justeru kami perlu
memperagakan aksi lebih 100 peratus terutama bagi mengekang asakan penyerang
lawan bagi memastikan impian kami mencipta kemenangan dan mengekalkan rekod
tanpa kalah berhasil, " kata pertahanan tengah itu.
Ulasan
Catat Ulasan