TIDAK gentar dengan reputasi barisan penyerang skuad Johor Darul
Ta’zim (JDT), pertahanan kental skuad Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic
melaungkan amaran akan melakukan kejutan terhadap lawan itu di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah, pada Sabtu ini.
Ketika kedua-dua pasukan teratas Liga Super itu bakal membuat
perhitungan dalam aksi kelima dengan bekas pemain kebangsaan Montenegro
berketinggian 1.85 meter itu tidak memikirkan status lawan sebagai pasukan
terbaik Liga Malaysia (Liga M).
Dia sebaliknya berikrar tampil dengan aksi lebih cemerlang bagi
mematahkan setiap gerakan pemain skuad kendalian ketua jurulatih baharu, Raul
Longhi yang pasti mengidam untuk mengutip tiga mata dalam aksi dijangka sengit
itu.
Pemain berusia 27 tahun kelahiran Belgrade, Yugoslavia itu juga
tidak rela pintu gol pasukannya dibolosi di depan penyokong sendiri walaupun
sedar bukan tugas mudah buatnya dan rakan sepasukan menyekat rangkaian
penyerang skuad Harimau Selatan diketuai Luciano Figueroa itu.
“Sasaran pasukan adalah untuk mencatat kemenangan dan secara
peribadi saya dan rakan sepasukan sudah bersedia menyekat rangkaian penyerang
JDT daripada membolosi gawang skuad kami biarpun lawan tanpa kehadiran
penyerang sensasinya, Jorge Pereyra Diaz.
“Selain itu, prestasi terbaik pasukan yang berjaya mengekalkan
rekod tanpa kalah dalam saingan liga turut menambah lagi keyakinan kami untuk
menundukkan mereka dan semestinya kami tidak gerun dengan reputasi skuad itu
sambil berharap kemenangan akan berpihak kepada kami, ” kata Zonjic yang kali
pertama beraksi dalam pentas Liga M musim ini.
Pertembungan skuad Penyu dengan Harimau Selatan itu yang kini
masing-masing menghuni dua tangga teratas Liga Super bakal menjadi tumpuan
kerana kedua-duanya berpeluang memimpin carta liga dengan mengutip sembilan dan
lapan mata.
Jika TFC berjaya mencatat kemenangan ataupun seri, pasukan
tunggal yang masih belum tewas itu mampu merampas kembali takhta teratas liga.
Mengulas lanjut, Zonjic berkata dia tetap waspada dan tidak akan
mengambil mudah pertemuan itu meskipun beraksi di laman sendiri kerana skuad
Harimau Selatan mempunyai kekuatan dan aura tersendiri.
“Sebagaimana kita tahu JDT adalah pasukan yang mantap di setiap
posisi selain wakil Malaysia dalam saingan Piala AFC dan ini sudah pasti tidak
mudah buat kami apatah lagi rekod terbaik pasukan itu menjuarai liga empat
tahun berturut-turut.
“Justeru
kami perlu memperagakan aksi lebih 100 peratus terutama bagi mengekang asakan
penyerang lawan bagi memastikan impian kami mencipta kemenangan dan mengekalkan
rekod tanpa kalah berhasil, ” kata pertahanan tengah itu.
Ulasan
Catat Ulasan