BUKAN mudah untuk menewaskan pasukan yang tiada apa mahu
dikejarkan.
Itu respon pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa
yang menyifatkan UiTM FC mampu beri kejutan jika bersikap terlalu yakin untuk
menewaskan pasukan dari Liga Perdana itu pada pertembungan pusingan ketiga
Piala FA di Stadium UiTM FC, Shah Alam, malam esok.
Insa menegaskan skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail mampu
menidakkan hasrat menggunung skuad Harimau Selatan jika bersikap sambil lewa
apabila beraksi menentang pasukan itu.
"Jangan pandang rendah UiTM FC kerana mereka turun dengan
barisan terkuat kerana bukan sahaja UiTM FC malah pasukan lain apabila
menentang JDT mereka akan beraksi habis-habisan.
"Bagi persiapan menentang pasukan itu, kami perlu tumpukan
aspek proses pemulihan memandang selepas megharungi jadual perlawanan yang
padat dan ia penting untuk memastikan apabila kita beraksi nanti perlu
konsisten.
"Saya tidak nafikan ia perlawanan sukar buat kami. Status
pasukan tidak memberi sebarang makna kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola
sepak. Jika kami meletakkan status sebagai ukuran, itu adalah masalah besar
buat kami," katanya.
Insa juga menegaskan betapa pengalaman ketika bersama kelab
Levante UD pada saingan Piala Raja Sepanyol dua musim lalu tatkala
menentang pasukan kelab bawahan nyata menyukarkan dan ia juga seakan
pertembungan menentang UiTM FC yang mampu beri tekanan pada JDT nanti.
Katanya, skuad Harimau Selatan harus berwaspada kerana sudah
menjadi perkara biasa apabila kelab berprofil rendah mampu menumbang kelab
gergasi di mana-mana liga utama di seluruh dunia dan perlu menghormati
keupayaan pasukan seperti UiTM FC.
Pada
aksi musim lalu, skuad Harimau Selatan membelasah skuad Lion Troops 4-0 dalam
aksi pusingan ketiga Piala FA tatkala beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin.
Ulasan
Catat Ulasan