PEMILIK kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim mendedahkan tiada perancangan mencari jurulatih baharu buat
masa ini, sebaliknya bersedia berbelanja besar untuk mendapatkan pemain import
lebih hebat pada sesi perpindahan pemain kedua, Mei
depan.
Tunku Ismail berkata, penolong jurulatih Raul Longhi yang
mengambil alih tugas selepas Ulisses Morais meletakkan jawatan pada 25 Februari
lalu berjaya melaksanakan tugas dengan baik.
"Beliau (Morais) paling sesuai kepada falsafah dan polisi
JDT. Malah, saya amat berpuas hati dengan Raul. Pemain juga selesa dengan
beliau. Tidak akan ada jurulatih baharu," katanya dalam satu kenyataan di
laman Facebook, Johor Southern Tigers.
Di bawah kendalian Longhi, JDT berjaya menduduki takhta Liga
Super meskipun prestasi mereka dalam saingan Piala AFC kurang
memberangsangkan.
Ramai pihak melihat persembahan JDT musim ini masih kurang
meyakinkan, tambahan ketiadaan pemain import Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang
'melarikan' diri bulan lalu serta keputusan mengambil semula Luciano Figueroa
yang keluar daripada persaraan turut menjadi pertikaian.
Menurut Tunku Ismail, beliau mengakui kesilapannya yang tidak
mahu berbelanja tahun ini, namun memberi jaminan akan memperbaiki semula
kelemahan pasukan.
"Saya silap bila buat keputusan untuk merendah diri dan
berjimat cermat tahun ini. Beli pemain lama yang kononnya bakal mudah untuk
buat pasukan.
"Penyakit baharu saya sekarang adalah saya nak ‘membazir’.
Oleh itu saya dah sediakan dana untuk membawa masuk pemain yang hebat. Saya nak
beli pemain mahal. Buat masa ini ada 5 pemain import dalam ‘short list’ kita.
Saya tak suka kalah. Tak kena dengan jiwa kita.
"Saya tahu JDT sekarang tengah susah, saya tahu JDT sedang
berhempas pulas. Saya tahu JDT tengah bersedih. Tetapi saya tahu November nanti
kita akan bermain bunga api," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan