BIARPUN skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) turun tanpa kelibat bekas
penyerang utamanya, Jorge Pereyra Diaz yang meninggalkan pasukan, pemain
Terengganu FC (TFC) tetap melihat skuad itu lawan yang berbisa.
Hal ini diluahkan arkitek skuad Penyu, Mohd Faiz Mohd Nasir yang
menyatakan taji JDT masih tajam dan perlu diberi perhatian rakan sepasukan
dalam misi mengutip tiga mata di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu
ini.
Selain itu, Mohd Faiz yang digelar 'Messi Terengganu' juga turut
menyatakan skuad JDT adalah pasukan terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga
M) sebagaimana yang dibuktikan sejak empat tahun lalu dan pemain TFC harus
berwaspada.
“Bagi saya skuad JDT yang kini mendahului Liga Super tetap lawan yang
sukar dan bahaya serta harus diberi perhatian oleh rakan sepasukan walaupun
tanpa penyerang utamanya, Diaz.
“Hal ini kerana mereka masih mempunyai penyerang yang mampu
menghasilkan jaringan seperti Luciano Figueroa dan Ahmad Hazwan Bakri,” kata
Mohd Faiz.
TFC yang kembali beraksi dalam saingan Liga Super, sedang menduduki
tangga kedua liga selepas hanya ketinggalan satu mata berbanding JDT.
Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu tetap percaya skuadnya juga
mempunyai kelebihan dan keupayaan tersendiri untuk menundukkan lawan biarpun
JDT pasti datang dengan misi untuk mengekalkan kedudukan teratas liga.
“Kejayaan melakar kemenangan 4-0 ke atas PJ Rangers FC, Sabtu lalu
selain menjadi satu-satunya pasukan yang belum tewas selepas empat perlawanan
mampu meningkatkan lagi moral saya dan rakan sepasukan untuk melebarkan lagi
kemenangan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah,” kata Mohd Faiz yang mahu
pemain yang disenaraikan memperaga aksi terbaik untuk mengekang corak permainan
JDT.
Ulasan
Catat Ulasan