Tampines tekad buru tiga mata


JURULATIH JDT, Raul Longhi (dua dari kanan) bersalaman dengan Raab sambil diperhatikan kapten JDT, Safiq Rahim (kanan) dan pemain Tampines Rovers, Fazrul Nawaz (kiri) ketika sidang media perlawanan Kumpulan H Piala AFC 2018 di Johor Bahru. FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM

JOHOR BAHRU: Walaupun masih belum meraih kemenangan, Tampines Rovers optimis betapa kemenangan pertama yang dicari mampu dijelmakan pada pertembungan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Kumpulan H Piala AFC Zon ASEAN, di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.
Pengendali kelab dari Singapura itu, Jurgen Raab menegaskan keupayaan barisan pemainnya mengikat skuad kendalian Raul Longhi 0-0 pada aksi di Stadium Besar, 6 Mac lalu menyuntik semangat buat pasukan itu berdepan juara Piala AFC 2015 pada aksi di Larkin.
"Walaupun pada pusingan pertama kami gagal mencipta kemenangan selepas tewas dua perlawanan dan melakar keputusan seri namun peluang tetap ada untuk menyerlah pada pusingan kedua dan kami mahu kemenangan apabila berdepan JDT.
"Selepas aksi pusingan pertama, saya berbincang dengan pemain dan sasaran adalah untuk merapatkan jurang mata yang bersaing dalam Kumpulan H.
Malah keupayaan mengikat JDT tanpa jaringan adalah persembahan terbaik pada saingan itu.
"Kami akui JDT adalah pasukan hebat pada aksi yang lalu mereka menurunkan barisan pemain kedua namun mampu mengimbangi perlawanan itu dan sering beri ancaman apabila mengundang resah pada benteng pertahanan kami.
Raab menegaskan corak permainan Tampines Rovers bakal berbeza di Larkin dengan gaya lebih agresif untuk mencari kemenangan pertama dalam saingan itu walaupun sedar sukar untuk menewaskan JDT yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
Malah beliau berpandangan kekuatan skuad Harimau Selatan terletak kepada sokongan padu penyokong pasukan itu namun mengingatkan barisan pemainnya supaya sentiasa fokus dan beraksi mengikut arahan taktikal yang dirancang.
"Saya berharap penjaga gol, Hafiz Farid mampu mengekalkan corak permainan cemerlang ketika aksi lalu selepas berjaya menafikan usaha JDT menjaringkan gol dan persembahan berkualiti mampu diteruskan.
"Fahrudin Mustafic yang terpaksa dikeluarkan ketika menentang JDT pada aksi lalu akibat kecederaan akan diturunkan dalam kesebelasan utama dan kehadiran dia mampu menguatkan benteng untuk menghalang gerakan berbahaya JDT," kata Raab.

Ulasan