WALAUPUN masih belum meraih kemenangan, Tampines Rovers optimis
betapa kemenangan pertama yang dicari mampu dijelmakan pada pertembungan
menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Kumpulan H Piala AFC Zon
ASEAN, di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.
Pengendali kelab dari Singapura itu, Jurgen Raab menegaskan
keupayaan barisan pemainnya mengikat skuad kendalian Raul Longhi 0-0 pada aksi
di Stadium Besar, 6 Mac lalu menyuntik semangat buat pasukan itu berdepan juara
Piala AFC 2015 pada aksi di Larkin.
“Walaupun pada pusingan pertama kami gagal mencipta kemenangan
selepas tewas dua perlawanan dan melakar keputusan seri namun peluang tetap ada
untuk menyerlah pada pusingan kedua dan kami mahu kemenangan apabila berdepan
JDT.
“Selepas aksi pusingan pertama, saya berbincang dengan pemain
dan sasaran adalah untuk merapatkan jurang mata yang bersaing dalam Kumpulan H.
Malah keupayaan mengikat JDT tanpa jaringan adalah persembahan
terbaik pada saingan itu.
“Kami akui JDT adalah pasukan hebat pada aksi yang lalu mereka
menurunkan barisan pemain kedua namun mampu mengimbangi perlawanan itu dan
sering beri ancaman apabila mengundang resah pada benteng pertahanan kami.
Raab menegaskan corak permainan Tampines Rovers bakal berbeza di
Larkin dengan gaya lebih agresif untuk mencari kemenangan pertama dalam saingan
itu walaupun sedar sukar untuk menewaskan JDT yang memiliki kelebihan beraksi
di laman sendiri.
Malah beliau berpandangan kekuatan skuad Harimau Selatan
terletak kepada sokongan padu penyokong pasukan itu namun mengingatkan barisan
pemainnya supaya sentiasa fokus dan beraksi mengikut arahan taktikal yang
dirancang.
“Saya berharap penjaga gol, Hafiz Farid mampu mengekalkan corak
permainan cemerlang ketika aksi lalu selepas berjaya menafikan usaha JDT
menjaringkan gol dan persembahan berkualiti mampu diteruskan.
“Fahrudin
Mustafic yang terpaksa dikeluarkan ketika menentang JDT pada aksi lalu akibat
kecederaan akan diturunkan dalam kesebelasan utama dan kehadiran dia mampu
menguatkan benteng untuk menghalang gerakan berbahaya JDT,” kata Raab.
Ulasan
Catat Ulasan