Sabah raih pengalaman berguna lawan kelab JDT


BIARPUN tewas, namun para pemain Sabah mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi menentang JDT dalam saingan Piala FA di Kota Kinabalu kelmarin.

SABAH mencipta kejutan apabila mengikat jaguh Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa sebarang gol hampir satu jam dalam saingan kedua Piala FA 2018 di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin.

Meskipun tewas 1-2 menentang Harimau Selatan dalam perlawanan itu, namun anak-anak buah skuad kendalian Jelius @ Tabius Ating tidak memberikan laluan mudah kepada JDT untuk menang.

“Saya berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan para pemain malam ini (kelmarin),” ujar Jelius ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Katanya, menyedari status pasukan yang bersaing di Liga Premier, mereka akur dengan kekuatan juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 dan Liga Super itu.

Bagaimanapun katanya, pasukan Sabah memberikan tentangan sengit dengan semangat ingin menang yang tinggi.

“Secara keseluruhan saya amat gembira dengan perlawanan ini. Kalah bukan bererti kita tidak boleh pergi jauh. Kami perlu kembali fokus untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan prestasi pemain, beliau mengharapkan anak-anak buahnya mengekalkan momentum yang sama untuk mengharungi Liga Malaysia selepas ini.

Pada perlawanan itu, Sabah terlebih dahulu merobohkan benteng pertahanan JDT hasil jaringan Gilhoon Lee pada minit ke-24.

Anak-anak buah Raul Longhi bergelut mendapatkan jaringan penya­maan sebelum meraih gol pertama hasil sentuhan Liciano Garbriel Figueroa pada minit ke-51 seterusnya gol kedua pada minit ke-95 oleh Gonzalo Gabriel.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan JDT meneruskan saingan Piala FA dan menghampakan lebih 20,000 penyokong tuan rumah di Stadium Likas.

Ulasan