KEKALAHAN tipis Sabah
kepada JDT dalam saingan Piala FA, semalam membuktikan Sabah juga mampu
bersaing dengan pasukan dari Liga Super. - Foto Khairull Azry Bidin
KOTA KINABALU: Kekalahan
tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Piala FA di Stadium Likas,
di sini, semalam, membuktikan Sabah juga mampu bersaing dengan pasukan dari
Liga Super.
Ketua jurulatih Sabah,
Jelius Ating, berkata perlawanan itu juga membuktikan pemainnya memiliki
kualiti baik sehingga memaksa JDT bekerja keras sebelum memenangi aksi
berkenaan.
"Kalau kita lihat,
perlawanan hari ini (malam tadi) menarik, kita bermain dengan satu pasukan
kuat, pasukan yang menjuarai Liga Super tahun lalu dan pernah menjulang Piala
AFC sebelum ini.
"Tetapi kita buktikan
pasukan kita juga mempunyai kualiti yang baik, walaupun kalah, secara
keseluruhan saya puas hati dengan semangat pemain yang bersungguh-sungguh untuk
memenangi perlawanan itu, mungkin bukan nasib kami," katanya ketika
ditemui selepas perlawanan itu, semalam.
Jelius berkata, dia
bagaimanapun sedikit kecewa dengan beberapa keputusan pengadil sehingga
menjejaskan rentak kedua-dua pasukan.
"Seharusnya kita
melihat satu perlawanan yang menarik dengan keseronokan dan seni yang kita
mahu.
"Bagaimanapun, ia
dipengaruhi dengan satu pihak yang tidak memihak kepada kita dan mungkin juga
tidak memihak kepada pasukan lawan... ia menjadi tidak seronok," katanya.
Sementara itu, pengurus
pasukan, Datuk Juil Nuatim, berkata pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung beberapa keputusan yang dilakukan
pengadil.
"Banyak keputusan
tidak menentu dilakukan pengadil dan ini sebenarnya yang mencetus kemarahan
kepada penyokong," katanya.
Dalam pada itu, Juil
gembira dengan prestasi serta kesungguhan yang ditunjukkan para pemain Sabah
dan beliau menganggap kekalahan malam tadi sebagai kekalahan yang bermaruah.
Ulasan
Catat Ulasan