PKNS FC merampas kembali kedudukan di persada Liga Super
daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menang tipis 1-0 ke atas Kelantan di
Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk K Rajagobal
kini mengumpul 10 mata, selepas lima perlawanan dan satu mata mendahului
JDT yang akan turun menentang Terengganu FC (TFC), malam esok.
Bagi Kelantan pula, ia adalah kekalahan ketiga skuad The Red
Warriors (TRW) musim ini dan berada di kedudukan ke-10, dengan mengumpul empat mata.
Kelantan terlebih dahulu menguji kubu PKNS menerusi percubaan
jarak dekat penyerang import, Mohamad Ghaddar pada minit ketujuh yang berjaya
dinafikan penjaga gol tuan rumah Mohd Shahril Saari.
PKNS juga mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan, namun
rembatan Faris Ramli berjaya diselamatkan penjaga gawang TRW, Khairul Fahmi Che
Mat sebelum singgah di tiang gol pada minit ke-13.
Bagaimanapun, kekecewaan itu berjaya ditebus Faris apabila
pemain sayap kelahiran Singapura itu bijak menyudahkan hantaran lintang
Jonathan Acosta untuk PKNS mendahului Kelantan 1-0.
Malah, Rafael Ramazotti hampir menjarakkan kedudukan buat PKNS,
namun sepakan guntingnya pada minit ke-53 berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.
Peluang
terbaik Kelantan untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-90, namun
sepakan percuma Dong Hyun Do di atas garisan kotak penalti hanya sedikit
tersasar di penjuru kiri pintu gol PKNS, sekaligus keputusan 1-0 memihak tuan
rumah kekal hingga wisel penamat.
Ulasan
Catat Ulasan