PEMAIN PKNS FC perlu
menundukkan Kelantan pada aksi di Stadium Shah Alam, malam esok. - Foto Mohd
Asri Saifuddin Mamat
KUALA LUMPUR: Tiada jalan lain untuk PKNS FC merampas semula
kedudukan teratas Liga Super, selain menundukkan Kelantan pada aksi di Stadium
Shah Alam, malam esok.
Kehadiran semula penyerang berpengalaman, Safee Sali dan tonggak
pertahanan, Zac Anderson yang sebelum ini cedera diyakini mampu membantu skuad
Semut Merah menebus kekecewaan tewas 3-4 kepada Kedah di gelanggang sama, 25
Februari lalu.
Pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal mengakui sangat mengharapkan
khidmat Anderson yang dianggap mampu mengukuhkan benteng pertahanan skuad
bimbingannya.
"Kami kehilangan Safee dan Zac ketika berdepan Kedah dan
ketiadaan mereka sangat dirasai. Zac mempunyai kekuatan tersendiri di mana dia
mampu untuk membimbing pemain lain beraksi lebih baik.
"Apapun, paling penting kami perlu meningkatkan segala
kelemahan terutama di bahagian tengah. Malah, bagi saya semua pasukan Liga
Super (termasuk Kelantan) musim ini dibarisi pasukan yang kuat," kata
Rajagobal yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan.
PKNS terpaksa melepaskan status pendahulu Liga Super kepada
Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan tewas kepada Kedah yang juga kekalahan pertama
mereka musim ini.
Malah, PKNS yang kini berada di kedudukan keempat liga boleh
kembali semula ke kedudukan teratas sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam
kerana JDT bakal berdepan Terengganu, Sabtu ini.
Sementara itu, pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid
mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang mudah kemampuan The Red Warriors
(TRW) yang meraih dua kemenangan berturut-turut selepas diambil alih Yusri Che
Lah.
"Kedua-dua pasukan mempunyai jurulatih baharu pada musim
ini. Pastinya pertemuan ini menyajikan kelainan dan ditunggu-tunggu
peminat," katanya.
Selepas aksi malam esok, skuad Semut Merah dan TRW akan bertemu
lagi pada pusingan ketiga Piala FA di gelanggang sama, pada 17 Mac.
Ulasan
Catat Ulasan