JUARA Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal mendapatkan
khidmat bekas pemain tengah remaja kebangsaan Perancis dan Lyon, Harry Novillo
dalam usaha memperkukuhkan pasukan itu musim ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi
akaun Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers, hari ini.
Ia bagi menggantikan pemain penyerang kelahiran Argentina, Jorge
Pereyra Diaz yang meninggalkan skuad berkenaan sebelum ini.
Novillo, 26, yang membuat sembilan penampilan sepanjang mewakili
skuad bawah 17 dan bawah 19 tahun Perancis, dijangka membuat kemunculan
pertamanya bersama skuad Harimau Selatan, selepas jendela perpindahan dibuka.
“Merah, putih dan biru. Api apabila ia dibakar, ia akan menjadi
sesuatu yang tidak dapat dihalang. Kelab ini ingin mengalu-alukan kehadiran
Harry Novillo, bekas pemain Lyon dan Melbourne City serta sedang bermain di
Dubai ketika ini.
“Beliau akan menyertai kami di JDT apabila jendela perpindahan
dibuka nanti.
“Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain
yang berkaliber, pemain muda yang dahagakan sesuatu pencapaian terbaik, serta
ingin menjadi sebahagian daripada kelab yang paling pesat berkembang, paling
bercita-cita dan bersungguh-sungguh di Asia Tenggara,” kata Prest.
Sementara itu, mengulas mengenai perpindahannya ke JDT, Novillo
yang beraksi bersama kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Baniyas FC dan sudah
berjaya meledak 10 gol dalam 13 aksi setakat ini, berkata:” Saya membara, anda
membara, letakkan kami bersama, bagaimana mereka akan menghalang kami?”.
Dalam perkembangan berkaitan, Prest berkata JDT akan turut
membawa masuk pemain import baharu bagi menggantikan Luciano Figueroa.
Namun, katanya, Figueroa akan kekal berlatih bersama JDT selain
memainkan peranan sebagai duta dan pegawai motivasi untuk skuad berkenaan.
“Luciano Figueroa akan digantikan dengan penyerang baharu yang
akan kami perkenalkan tidak lama lagi. Kami yakin pemain itu akan membantu
mempertingkatkan lagi prestasi JDT selepas ini,” katanya.
Selepas mengharungi lima perlawanan, skuad kendalian Raul Longhi
kini menghuni tangga teratas Liga Super selepas mengumpul 12 mata, kelebihan
dua mata di belakang Pahang.
Kedua-dua pasukan akan bertembung pada saingan suku akhir
pertama di Stadium Darul Makmur, 6 April depan, namun JDT tidak dapat
mempertaruhkan Novillo dan pemain import baharu berikutan masih belum boleh
didaftarkan.
Tingkap
perpindahan kedua dibuka pada 14 Mei sehingga 10 Jun.
Ulasan
Catat Ulasan