Longhi puas kutip tiga mata


PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi puas hati selepas pemainnya berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan walaupun terpaksa ‘bermandi peluh’ untuk mengutip tiga mata ketika bertemu Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Malah lebih membanggakan bagi bekas penolong jurulatih kelab Real Zaragoza dalam Liga Sepanyol itu, kemenangan tipis 1-0 sudah memadai untuk JDT merampas kembali kedudukan selaku pendahulu liga daripada PKNS FC.
Tambah Longhi, kejayaan meleburkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim di depan penyokong sendiri juga membuktikan pasukannya bukan ‘jaguh kampung’, sebaliknya sudah bersedia untuk menambah koleksi kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut.
“Kemenangan itu memberi kelegaan walaupun pemain terpaksa bekerja keras untuk menang. Aksi ini bukan mudah, mereka pasukan yang kuat. Begitupun pemain saya berjaya menang walaupun tipis,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Pemain pertahanan import Harimau Selatan, Marcos Antonio menjadi wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-29. Pertahanan kelahiran Brazil itu bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti skuad Penyu untuk mata ke-12 JDT.
Ketika ditanya mengenai percaturannya meletakkan kapten pasukan, Safiq Rahim sebagai simpanan pada aksi penting itu sedangkan pasukannya tidak begitu konsisten sejak kebelakangan ini, beliau mengakui ada strategi tersendiri.
“Apa yang penting kami berjaya membawa pulang tiga mata,” katanya.
Sementara itu, Irfan Bakti mengakui begitu kecewa dengan pemainnya yang tidak merebut peluang terbaik di depan gol.
Jurulatih berusia 67 tahun itu juga kurang senang dengan sesetengah pemainnya yang dilihat kurang mempunyai idea biarpun berada di dalam kawasan penalti lawan.
“Saya tidak memikirkan sangat berkaitan rekod tanpa kalah kami yang lebur di laman sendiri. Tapi saya kecewa kerana pemain tidak memanfaatkan peluang keemasan apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan lawan, peluang kami untuk menghasilkan jaringan lebih banyak,”katanya.

Ulasan