Longhi kurang senang sikap lewa pemain JDT


PEMAIN JDT, Gonzalo Cabrera (kiri) tumbang apabila diasak pemain UiTM, Muhammad Zulkhairi Zulkeply dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Stadium UiTM, Shah Alam kelmarin. JDT menang 3-2.

KUALA LUMPUR 18 Mac – Sikap sambil lewa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika melakar kemenangan tipis ke atas UiTM FC dalam pusingan ketiga Piala FA membuatkan pe­ngendalinya Raul Longhi tidak puas hati.

Masakan tidak, bertemu de­ngan pasukan dari Liga Perdana itu, gawang skuad Harimau Selatan dibolosi sebanyak dua kali disebabkan sikap ambil mudah pemainya walaupun mereka berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2.

“Saya tidak suka pemain mempunyai sikap sambil lewa dan mudah untuk hilang bola walaupun menguasai perlawanan. Kami perlu ada sikap yang bagus ketika menguasai bola.

“Jika kita mahu terus menang maka kita mesti tunjukkan kesungguhan dan bermain dengan baik. Kita memanfaatkan sebanyak mungkin peluang yang diperoleh dan bukannya rasa selesa apabila sudah mendahului.

“Buat masa ini banyak kerja perlu kami buat sepanjang rehat liga untuk seketika. Kami akan kembali berlatih dan perbe­tulkan apa yang perlu,” kata jurulatih dari Argentina itu selepas perlawanan.

Jaringan hatrik penyerang bawah 23 tahun negara Safawi Rasid di Stadium UiTM telah membantu JDT melangkah ke suku akhir walaupun tuan rumah cuba bangkit dengan menjaringkan dua gol.

Dalam pada itu, jurulatih skuad UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail tetap berbangga dengan prestasi dan corak permainan anak buahnya ketika menentang juara Liga Super tiga kali itu.

“Saya berbangga dengan komitmen pemain yang tidak berputus asa dan berjuang habis-habisan sehingga berjaya menjaringkan dua gol menentang pasukan JDT.

“Saya rasakan kami tidak bernasib baik kerana kehila­ngan penyerang berbisa Dao Bakary pada minit akhir perlawanan. Jika dia masih ber­ada di atas padang mungkin kami mampu bangkit,” katanya yang turut berharap agar anak didiknya dapat menggunakan pengalaman berharga ini dalam persaingan Liga Perdana.

Ulasan