Tidak akan guna khidmat pemain yang pernah bermain dengan JDT
KAMARA (kanan) dari Sierra Leone pernah beraksi bersama JDT pada musim 2015.
EDWARDS berharap pihak luar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat terhadap JDT sehingga mengelirukan para penyokong.
KELAB bola sepak mewah, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan menggunakan khidmat pemain yang pernah bermain dengan skuad Harimau Selatan sebelum ini.
Itu tegas Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards yang mahu kerjasama pihak luar agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat terhadap kelab itu sehingga mengelirukan para penyokong.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan ada pihak yang mendakwa juara Liga Super empat kali ini akan menggunakan khidmat bekas pemain yang pernah beraksi bersama JDT, Al-Haji Kamara atau Patito Rodriguez (gambar kecil) bagi menggantikan Luciano Figueroa.
“Dua pemain ini adalah pemain yang bagus dan profesional. Kami hargai jasa mereka ketika bersama kelab sebelum ini.
“Kami sentiasa mengucapkan selamat maju jaya buat mereka. Tetapi mereka tiada dalam senarai kami sebagai pemain baharu untuk menggantikan Figueroa,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers semalam.
Edwards berkata, tindakan kelab gergasi itu tidak mahu menggunakan khidmat bekas pemain berikutan polisi baharu yang dititahkan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“JDT tidak akan mengambil semula pemain yang pernah berkhidmat untuk kelab dan ini adalah polisi terbaru kelab yang dititahkan oleh Tunku Ismail baru-baru ini.
“Jika ada pemain yang ditandatangani, ia adalah pemain baharu, bukan bekas pemain JDT,” katanya.
Teki-teki siapa yang akan menggantikan Figueroa masih menjadi tanda tanya, namun Edwards telah memberi bayangan siapa pemain yang akan berkhidmat dengan JDT menjelang jendela perpindahan dibuka Mei ini.
“Pemain luar negara baharu yang menggantikan Figueroa adalah seorang penyerang berusia 26 tahun berasal dari Brazil.
“Oleh itu, saya ingin meminta kerjasama kepada semua pihak di luar sana untuk berhenti daripada mengelirukan para penyokong,” ujarnya.
Ulasan
Catat Ulasan