KEKALAHAN tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi
Piala FA di Stadium Likas, di sini, semalam, membuktikan Sabah juga mampu
bersaing dengan pasukan dari Liga Super.
Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, berkata perlawanan itu juga
membuktikan pemainnya memiliki kualiti baik sehingga memaksa JDT bekerja keras
sebelum memenangi aksi berkenaan.
"Kalau kita lihat, perlawanan hari ini (malam tadi)
menarik, kita bermain dengan satu pasukan kuat, pasukan yang menjuarai Liga
Super tahun lalu dan pernah menjulang Piala AFC sebelum ini.
"Tetapi kita buktikan pasukan kita juga mempunyai kualiti
yang baik, walaupun kalah, secara keseluruhan saya puas hati dengan semangat
pemain yang bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan itu, mungkin bukan
nasib kami," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, semalam.
Jelius berkata, dia bagaimanapun sedikit kecewa dengan beberapa
keputusan pengadil sehingga menjejaskan rentak kedua-dua pasukan.
"Seharusnya kita melihat satu perlawanan yang menarik
dengan keseronokan dan seni yang kita mahu.
"Bagaimanapun, ia dipengaruhi dengan satu pihak yang tidak
memihak kepada kita dan mungkin juga tidak memihak kepada pasukan lawan... ia
menjadi tidak seronok," katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, berkata
pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
berhubung beberapa keputusan yang dilakukan pengadil.
"Banyak keputusan tidak menentu dilakukan pengadil dan ini
sebenarnya yang mencetus kemarahan kepada penyokong," katanya.
Dalam
pada itu, Juil gembira dengan prestasi serta kesungguhan yang ditunjukkan para
pemain Sabah dan beliau menganggap kekalahan malam tadi sebagai kekalahan yang
bermaruah.
Ulasan
Catat Ulasan