PEMAIN JDT, Gonzalo
Cabrera membuat permohonan rasmi kepada FMLLP untuk menukar nombor 23 yang
digunakannya kepada 11. - Foto Hafiz Sohaimi
KUALA LUMPUR: Penggunaan nombor 11 oleh tonggak import Johor
Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera pada jersi pasukannya adalah sah, walaupun
ia berlaku di luar jendela perpindahan.
Perkara itu disahkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak
Malaysia (FMLLP) dalam satu kenyataan hari ini.
Isu Cabrera memakai jersi nombor 11 yang sebelum ini milik bekas
penyerang JDT, Jorge Pereyra Diaz ketika berdepan Sabah pada aksi Piala FA
minggu lalu, menjadi topik hangat ketika ini khususnya di media sosial.
Malah pelbagai persoalan juga ditimbulkan peminat bola sepak
tempatan dan ada yang mendakwa pertukaran itu sepatutnya tidak boleh dilakukan
kerana di luar jendela perpindahan.
FMLLP menerusi kenyataannya itu menjelaskan Cabrera membuat
permohonan rasmi kepada FMLLP untuk menukar nombor 23 yang digunakannya kepada
11 selepas Diaz meninggalkan JDT, bulan lalu.
"Setiap nombor jersi yang tidak berdaftar oleh mana-mana
pemain boleh diguna pakai untuk membuat pertukaran jika ada permohonan secara
rasmi kepada FMLLP.
"Nombor jersi 11 sebelum ini dipakai oleh pemain Jorge
Pereyra Diaz, namun pendaftaran pemain itu sudah dibatalkan sebelum permohonan
pertukaran jersi ini dibuat.
"Fenomena ini bukan pertama kali berlaku di Liga Malaysia.
Ia pernah terjadi beberapa kali sebelum ini. Peraturan ini juga terpakai dalam
liga antarabangsa yang lain," kata kenyataan itu.
Diaz meninggalkan JDT secara mengejut pada 25 Februari lalu. Dia
didakwa meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah malam di
Singapura sebelum pasukan itu berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.
Ulasan
Catat Ulasan