SAFAWI RASID (tengah) meraikan jaringannya ketika
aksi Piala AFC menentang Tampines Rovers di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, sebentar tadi.
JOHOR BAHRU 14 Mac - Johor Darul Ta'zim (JDT)
dipaksa bekerja keras oleh pasukan Singapura, Tampines Rovers sebelum
mencatatkan kemenangan tipis 2-1 pada perlawanan peringkat kumpulan H, Piala
AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Ahmad Hazwan Bakri muncul penyelamat Harimau
Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan hampir memasuki
tempoh 10 minit terakhir permainan.
Beraksi di hadapan lebih 8,000 penonton, JDT
terlebih dahulu membuka jaringan menerusi percubaan Safawi Rasid melepaskan
rembatan deras dengan menggunakan kaki kiri dari luar kotak penalti menewaskan
penjaga gol lawan pada minit ke-13.
Sebelum babak pertama berakhir, pasukan pelawat
dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil setelah bola terkena tangan La’
Vere Corbin-Ong dan melayangkan kad kuning kepada pemain pertahanan itu.
Khairul Amri tidak berdepan masalah menyempurnakan
sepakan penalti menewaskan penjaga gawang, Mohd. Izham Tarmizi bagi menyamakan
kedudukan.
Skuad bimbingan Raul Longhi memerah keringat
melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang lawan akhirnya berjaya
mendapat gol kemenangan menerusi percubaan Ahmad Hazwan pada minit ke-79 bagi
membolehkan JDT mengutip tiga mata
.
Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan
H, Persija Jakarta menewaskan pasukan dari Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 di
Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan