Longhi mahu skuad Harimau Selatan raih tiga mata di laman sendiri
SAFIQ
(dua dari kanan) bersalam dengan pemain Tampines Rovers, Fazrul Nawaz menjelang
aksi Piala AFC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Turut kelihatan Longhi (kanan) dan jurulatih Tampines Rovers, Jurgen Raab.
KETUA jurulatih
skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi yakin Harimau Selatan mampu
membenam pasukan Tampines Rovers pada aksi pusingan kedua Kumpulan H, Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di laman sendiri malam ini.
Longhi menegaskan, para pemainnya akan
mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut dalam usaha JDT meraih tiga
mata berharga pada kempen Piala AFC tersebut.
Katanya, pasukan JDT memiliki kelebihan
terutamanya dari segi moral apabila beraksi di hadapan para penyokong di laman
sendiri di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
“Kami mesti menang malam ini untuk meraih
tiga mata pertama, sekali gus mengorak langkah mara ke pusingan seterusnya.
“Namun, kami tetap berwaspada dengan
pasukan lawan kerana mereka datang membawa misi tersendiri,” katanya pada
sidang akhbar di Johor Bahru semalam.
Longhi berkata, sesiapa yang diturunkan
beraksi malam ini merupakan pemain terbaik dan mereka harus mempamerkan aksi
menakjubkan untuk meraih kemenangan.
Sementara itu, kapten skuad Harimau
Selatan, Safiq Rahim menyeru rakan-rakan sepasukannya agar turun dengan
aura positif dalam memastikan kejayaan milik JDT nanti.
“Tidak kira siapa yang diturunkan malam
esok (hari ini) kita perlu bermain dengan baik dalam misi mencari tiga mata
penuh.
“Saya berharap rakan-rakan dapat
menterjemahkan taktikal dan rancangan yang telah diatur jurulatih,” katanya.
Ketika ditanya sama ada ketiadaan bekas
jurulatih, Ullisses Morais dan pemain import, Jorge Pereyra Diaz mampu
menjejaskan pasukan, Safiq menegaskan, pada masa ini seluruh pemain serta
pegawai JDT sangat harmoni dan kerjasama semain utuh.
Ulasan
Catat Ulasan