SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) bersalaman dengan tonggak
Tampines Rovers, Fazrul Nawaz sambil diperhatikan oleh jurulatih mereka Raul
Longhi (kanan) dan Jurgen Raab dalam sidang akhbar menjelang perlawanan Piala
AFC 2018 bagi kumpulan H di Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU 13 Mac – Safiq Rahim yakin Johor
Darul Ta’zim (JDT) telah pulih daripada insiden pemergian bintang penyerang
dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dan Harimau Selatan kini bersedia untuk
mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Tampines Rovers esok.
Diaz meninggalkan JDT secara tiba-tiba pada
malam mereka sepatutnya ke Vietnam untuk menghadapi Song Lam Nghe An pada
penghujung bulan lalu. Ketiadaannya menyaksikan JDT tumpas 2-0 dan kemudian
sekadar seri tanpa jaringan dengan Tampines di Singapura.
Walau bagaimanapun, ketua pasukan JDT, Safiq
berkata ketiadaan Diaz tidak memberi impak negatif terhadap moral pemain dan
beberapa perlawanan dalam Liga Super membuktikan perkara tersebut.
JDT kini merampas semula kedudukan teratas liga
selepas menumpaskan Terengganu 1-0 minggu ini.
Safiq juga memberi jaminan bahawa setiap pemain
yang terpilih dalam kesebelasan utama akan memberi aksi terbaik di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos esok untuk meraih kemenangan ke atas Tampines.
“Kami lebih fokus terhadap pasukan sendiri
dengan menilai kekuatan dan kelemahan kami. Setiap kelemahan diperbaiki,
manakala kekuatan terus dipertingkat,” katanya dalam sidang akhbar menjelang
perlawanan di sini hari ini.
Jurulatih JDT, Raul Longhi bagaimanapun
mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan Tampines walaupun
mereka akan menghadapi lawan dalam Kumpulan H itu di gelanggang keramat mereka.
Katanya, setiap pasukan yang menentang Harimau
Selatan pasti akan berusaha untuk menewaskan JDT.
“Ini kerana setiap pasukan yang bertemu dengan
JDT pasti akan melakukan yang terbaik. Jadi, amat penting untuk pemain sentiasa
bersedia sama ada dalam aspek fizikal mahupun mental.
“Kami akan bermain sepenuh hati untuk
mencatatkan kemenangan, sekali gus mengutip tiga mata penuh, apatah lagi
bermain di gelanggang sendiri,” katanya.
Ketua jurulatih Tampines, Jurgen Raab pula
berkata pasukannya bersedia untuk memberi saingan sengit buat JDT walaupun mengakui
kelebihan Harimau Selatan kerana bermain di laman sendiri.
“Saya tahu kemampuan dan kekuatan JDT, namun
esok kami akan bermain bersungguh-sungguh dan beri saingan kepada mereka.
“Kami juga turun dengan misi untuk menang dalam
perlawanan esok,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan