JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mencuri satu mata dari Stadium Jalan
Besar, Singapura sebentar tadi, selepas terikat tanpa jaringan dengan Tampines
Rovers dalam aksi Kumpulan H saingan Piala AFC.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Raul Longhi kini
berada di kedudukan kedua kumpulan dan berkongsi empat mata bersama kelab
Indonesia, Persija Jakarta yang menghuni tangga ketiga.
JDT yang tewas 0-2 kepada pendahulu kumpulan, Song Lam Nghe An
FC di gelanggang lawan pada 28 Februari lalu hanya memiliki kelebihan satu
jaringan berbanding Persija Jakarta.
Pada aksi sebentar tadi, perlawanan seimbang dipamerkan
kedua-dua pasukan dan JDT mendapat beberapa peluang terbaik untuk memecah
kebuntuan jaringan, namun gagal disempurnakan jentera serangan yang dikemudi
barisan pemain muda, Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok, dan Syafiq Ahmad.
Peluang terbaik skuad Harimau Selatan muncul pada minit ke-62,
namun percubaan jarak dekat Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya ditepis penjaga gol
Tampines Rovers, Syazwan Buhari.
Biarpun perlawanan sengit terus disajikan dengan kedua-dua
pasukan saling berbalas serangan hingga hujung permainan, namun ketumpulan
jentera serangan melakukan penyudah berkesan menyebabkan perlawanan sekadar
berkesudahan dengan keputusan seri 0-0.
Bagi Tampines Rovers, keputusan itu sudah pasti meletakkan
mereka dalam kedudukan bahaya untuk tersingkair awal daripada kejohanan apabila
kekal di kedudukan tercorot kumpulan dengan mengumpul satu mata selepas tiga
perlawanan.
JDT yang juga juara Piala AFC musim 2015 akan berdepan Tampines
Rovers semula pada pusingan kedua peringkat kumpulan di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, 14 Mac ini.
Sementara
itu, Persija Jakarta yang turut terikat tanpa jaringan dengan Song Lam Nghe An
pada aksi petang tadi, bakal melayan kunjungan kelab Vietnam itu di Stadium
Gelora Bung Karno, pada tarikh sama.
Ulasan
Catat Ulasan