PEMAIN JDT, Ahmad
Hazwan Bakri (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi
Kumpulan H saingan Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menemui rentak
kemenangan selepas menewaskan Tampines Rovers 2-1, pada aksi saingan Kumpulan H
Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kemenangan JDT ITU menyaksikan saingan Kumpulan H kembali
terbuka selepas Persija Jakarta menewaskan Song Lam Nghe An FC 1-0, pada aksi
di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi dan ketiga-tiga pasukan itu
masing-masing mengumpul tujuh mata ketika aksi berbaki dua perlawanan
lagi.
Tanpa menurunkan kelibat pemain import, JDT masih mampu menguasai
perlawanan apabila bertindak mengancam kubu Tampines Rovers pada minit ke-12,
selepas bola hantaran lintang Corbin Ong dirembat kencang Ahmad Hazwan Bakri
namun ditepis penjaga gol, Syazwan Buhari.
SAFAWI Rashid (kanan)
menjaringkan gol pembukaan perlawanan ketika menentang Tampines Rovers pada
aksi Kumpulan H saingan Piala AFC Zon ASEAN, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren
Jamaludin
Namun serangan bertali arus skuad Harimau Selatan seminit
kemudian membuahkan hasil selepas bola hantaran S Kunanlan membuka ruang buat
Safawi Rasid merembat bola kencang dari luar kotak penalti menggegar jaring
menewaskan Syazwan.
Bagaimanapun skuad kendalian Jurgen Raab bangkit menyamakan
jaringan ketika aksi berbaki seminit di babak pertama selepas pengadil
perlawanan, Payam Heideri menghadiahkan sepakan penalti apabila mengesan Corbin
mengasari pemain pelawat.
Peluang terhidang itu tidak dipersia-siakan Khairul Amri Kamal
yang mengambil sepakan penalti itu apabila mudah menyepak masuk menewaskan
penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.
Bersambung di babak kedua,
skuad Harimau Selatan mula menggandakan asakan untuk menekan benteng pertahanan
pelawat, namun Ahmad Hazwan terlepas peluang terhidang pada minit ke-55 selepas
gagal melakukan penyudah tepat walaupun hanya berdepan dengan Syazwan.
PEMAIN JDT, S Kunalan
(tengah) diasak pemain Tampines Rovers, Safirul Sulaiman (kanan). - Foto Mohd
Azren Jamaludin
Bola tandukan Ahmad Hazwan pada minit ke-66 selepas menerima
bola sepakan lintang S Kunanlan masih belum mampu menjelmakan jaringan buat
tuan rumah apabila Syazwan bertindak cemerlang untuk menepis bola keluar.
Malah Syazwan sekali lagi bertindak cemerlang menidakkan
percubaan berbahaya Afiq Fazail pada minit ke-73 yang menerima bola sepakan
sudut Natxo Insa selepas menepis bola keluar ketika bola tepat ke gawang
gol.
Akhirnya gol yang dinanti tuan rumah menjelma pada minit ke-78,
apabila bola lorongan Insa mengelirukan pertahanan pelawat dan kesempatan itu
digunakan sepenuhnya Ahmad Hazwan yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti
sebelum merembat bola leret menewaskan Syazwan dan kedudukan 2-1 kekal sehingga
tamat perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan