“KEMENANGAN tetap diburu walaupun ia agak
sukar.” Itu kata-kata kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim yang
inginkan kemenangan memihak pasukan itu apabila melayani kunjungan Tampines
Rovers pada aksi Kumpulan H saingan Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri
Hassan Yunus, Larkin, malam esok.
Apapun kapten JDT itu tidak menganggap ia perlawanan mudah
selepas skuad kendalian Jurgen Raab berjaya mengikat keputusan seri 0-0 pada
aksi di Stadium Jalan Besar, 6 Mac lalu.
Katanya, keputusan positif menjadi taruhan buat JDT tatkala
beraksi di laman sendiri menuntut kesebelasan pemain yang bakal diturunkan
memberi sepenuh komitmen pada perlawanan itu.
“Sesiapa yang diturunkan harus mengikut percaturan taktikal yang
dirancang jurulatih (Raul Longhi) kerana ia penting untuk beraksi konsisten
sepanjang 90 minit perlawanan dan elak daripada melakukan kesilapan mudah.
“Apabila berada di padang saya harap rakan sepasukan positif dan
bermain dengan tenang untuk mengutip tiga mata berharga kerana ia mustahak
untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu iaitu kelab dari Vietnam, Song
Lam Nghe An FC,” katanya.
Mengulas kegagalan JDT mencipta kemenangan ke atas Tampines
Rovers pada aksi lalu, Safiq enggan memikirkan apa yang berlaku, sebaliknya
mahu menumpukan pada pertembungan menentang kelab dari Singapura itu pada
pusingan kedua.
Malah dia menegaskan lawan kemungkinan tampil corak berbeza
dengan kelainan taktikal dan kekuatan dan setiap pemain JDT harus bersiap sedia
untuk mengelak daripada terperangkap dengan corak permainan skuad kendalian
Jurgen Raab.
Ditanya mengenai ketiadaan Jorge Pereyra Diaz dalam skuad itu,
Safiq menegaskan tiada kesan dalam skuad itu tanpa kelibat pemain import dari
Argentina itu sebaliknya barisan pemain JDT tetap konsisten pada aksi Piala AFC
dan saingan Liga Super.
“Dia seorang sahaja yang tinggalkan pasukan JDT, bukannya 10
pemain tinggalkan JDT. Jadi tiada kesan langsung malah moral pemain tetap
tinggi.
“Malah
aksi ketika menentang kelab dari Vietnam dan menentang Terengganu,
Alhamdullilah prestasi pasukan bertambah baik dan tiada kesan apabila ketiadaan
Jorge (Pereyra Diaz),” kata Safiq.
Ulasan
Catat Ulasan