PEMAIN pertahanan
Sabah, Azizan Nordin mengasak penyerang JDT, Gonzalo Gabriel pada aksi Piala FA
di Stadium Likas, malam tadi. - Foto Lano Lan
KOTA KINABALU: Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berhempas pulas
sebelum menang 2-1 terhadap Sabah dalam aksi pusingan kedua Piala FA, di
Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Pasukan JDT terlebih dulu berpeluang mendahului menerusi cubaan
Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-5, namun, rembatannya di dalam kotak penalti
terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.
Beraksi di hadapan lebih 21,000 penyokong, tuan rumah berjaya
memperoleh gol pendahuluan pada menerusi Lee Gil Hoon pada minit ke-24.
Gol itu berpunca hasil gerakan satu dua antara Gil Hoon dengan
Hector Omar Ramos yang kemudiannya disudahkan dengan baik bagi menjadikan
kedudukan 1-0 dan ia kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Sabah terus garang memburu jaringan dan
hampir memperoleh jaringan pada minit ke-50 tetapi cubaan Ramos sekadar
melepasi palang gol.
GILHOON
Lee (dua dari kanan) menjaringkan gol pertama Sabah ketika bertemu JDT, malam
tadi. - Foto Lano Lan
JDT kemudian berjaya
menyamakan kedudukan menerusi Luciano Gabriel Figueroa pada minit ke-52 selepas
memanfaatkan sepenuhnya situasi kelam kabut di dalam kotak penalti Sabah.
Pada minit ke-58, tuan
rumah hampir mendapat gol kedua namun hantaran lintang Heo Jaenyong gagal
disambar Ramos.
JDT kemudian memiliki
peluang baik pada minit ke-83 namun cubaan pemain gantian, Muhammad Safawi
Rasid dari dalam kotak penalti tinggi melepasi palang gol untuk kedudukan kekal
1-1 sehingga tamat 90 minit perlawanan dan terpaksa dilanjutkan ke masa
tambahan.
Pada minit keempat selepas
tambahan masa, Gonzalo Gabriel muncul wira pelawat apabila meletakkan JDT di
depan hasil rembatan kencangnya dari luar kotak penalti bagi menjadikan
kedudukan 2-1.
JDT kemudian memiliki
beberapa lagi peluang baik untuk menambah jaringan selepas itu namun dua cubaan
pemain mereka berjaya dihalang Rendy.
Kedudukan 2-1 itu kemudian
kekal sehingga pengadil perlawanan Mohd Zohri Tajudin meniupkan wisel penamat,
sekali gus menyaksikan JDT mara ke pusingan seterusnya.
Ulasan
Catat Ulasan