‘Jangan takut berdepan JDT’

Dollah akui pertembungan skuad Tok Gajah, Harimau Selatan umpama aksi final


DOLLAH (dua dari kiri) tidak mahu para pemain Pahang gentar dengan reputasi JDT menjelang aksi suku akhir Piala FA bulan depan.

KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh menggesa barisan pemainnya tidak takut bertemu dengan kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kedua-dua pasukan itu diundi bertemu dalam aksi suku akhir Piala FA bulan depan.

Semalam, pertembungan wakil dari timur dan selatan tanah air itu mencuri tumpuan kerana kedua-dua pasukan tersebut ketika ini berada di kemuncak prestasi dalam kempen Liga M musim ini.

Mengulas mengenai keputusan undian tersebut, Dollah tanpa berselindung me­ngakui perlawanan itu dianggap seperti aksi final memandangkan JDT muncul sebagai pasukan pilihan untuk memena­ngi Piala FA.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Harimau Malaya itu mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak gemuruh bertemu dengan juara empat kali berturut-turut Liga Super itu ketika menanti kunjungan mereka dalam aksi pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan nanti.

“Kita main (lawan) sahaja, jumpa (pa­sukan) sesiapa pun. Selepas Kedah, JDT adalah pasukan pilihan. Bagi saya, aksi suku akhir Piala FA menentang JDT ini umpama perlawanan akhir.

“Jadi, perlawanan ini cukup sukar tetapi anak-anak buah saya harus bermain seperti biasa. Kami harus mengambil kesempatan ini ketika bermain pada aksi pertama di laman sendiri.

“Bila dengar sahaja nama JDT, kita terus takut dan saya berharap pemain-pemain jangan takut. Bagi saya sama sahaja. Kalau kita tengok pasukan lain pun sekarang ini, Kuala Lumpur boleh kalahkan JDT (Liga Super) dan UiTM FC juga hampir berjaya mengalahkan mereka (Piala FA).

“Jadi, kita kena bermain dengan lebih yakin dan bermain seperti biasa. Itulah yang saya harapkan nanti pada aksi pertama suku akhir Piala FA,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain aksi Pahang-JDT, derbi Lembah Klang yang menemukan Selangor dan Kuala Lumpur juga mencuri tumpuan dalam undian suku akhir Piala FA.

Skuad Gergasi Merah masih segar dengan kejayaan menundukkan musuh tradisi itu 2-0 pada aksi pembukaan Liga Super, Februari lalu.

Sementara itu, kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) akan menentang Perak dan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) bakal menanti kunjungan pendahulu Liga Premier, Felda United pada aksi pertama suku akhir pada 6, 7 dan 8 April, manakala aksi timbal balik kedua bakal berlangsung 20, 21 dan 22 April.

Ulasan