TIADA jalan lain untuk PKNS FC merampas semula kedudukan teratas Liga
Super, selain menundukkan Kelantan pada aksi di Stadium Shah Alam, malam esok.
Kehadiran semula penyerang berpengalaman, Safee Sali dan tonggak
pertahanan, Zac Anderson yang sebelum ini cedera diyakini mampu membantu skuad
Semut Merah menebus kekecewaan tewas 3-4 kepada Kedah di gelanggang sama, 25
Februari lalu.
Pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal mengakui sangat mengharapkan khidmat
Anderson yang dianggap mampu mengukuhkan benteng pertahanan skuad bimbingannya.
“Kami kehilangan Safee dan Zac ketika berdepan Kedah dan ketiadaan
mereka sangat dirasai. Zac mempunyai kekuatan tersendiri di mana dia mampu
untuk membimbing pemain lain beraksi lebih baik.
“Apapun, paling penting kami perlu meningkatkan segala kelemahan
terutama di bahagian tengah. Malah, bagi saya semua pasukan Liga Super
(termasuk Kelantan) musim ini dibarisi pasukan yang kuat,” kata Rajagobal yang
juga bekas pengendali skuad kebangsaan.
PKNS terpaksa melepaskan status pendahulu Liga Super kepada Johor Darul
Ta’zim (JDT) susulan tewas kepada Kedah yang juga kekalahan pertama mereka
musim ini.
Malah, PKNS yang kini berada di kedudukan keempat liga boleh kembali
semula ke kedudukan teratas sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam kerana JDT
bakal berdepan Terengganu, Sabtu ini.
Sementara itu, pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid
mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang mudah kemampuan The Red Warriors
(TRW) yang meraih dua kemenangan berturut-turut selepas diambil alih Yusri Che
Lah.
“Kedua-dua pasukan mempunyai jurulatih baharu pada musim ini. Pastinya
pertemuan ini menyajikan kelainan dan ditunggu-tunggu peminat,” katanya.
Selepas aksi malam esok, skuad Semut Merah dan TRW akan bertemu lagi
pada pusingan ketiga Piala FA di gelanggang sama, pada 17 Mac
Ulasan
Catat Ulasan