Jurulatih Persib Bandung akui kelab gergasi Liga M itu sudah langsaikan tuntutan gaji
GOMEZ
akhirnya lega selepas tunggakan gajinya ketika bersama skuad Harimau Selatan
akhirnya dilunaskan oleh JDT pada Januari lalu.
MARIO Gomez mendedahkan
beliau telah mencapai kata sepakat dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) berhubung
tunggakan gajinya ketika membimbing skuad Harimau Selatan sebelum ini.
Terdahulu, Gomez pernah membuat kenyataan
berhubung isu tunggakan gaji dan beliau menggesa JDT menyelesaikan masalah itu
sebelum mengambil tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, Gomez yang kini melatih kelab
Indonesia, Persib Bandung mengakui kemelut itu sudah diselesaikan dengan
profesional pada Januari lalu.
Namun, Gomez enggan mendedahkan jumlah
sebenar tunggakan gaji yang dituntutnya daripada kelab gergasi Liga Malaysia
(Liga M) itu.
“Mereka (JDT) telah membayar tunggakan gaji
saya. Apa pun, saya sentiasa berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim kerana baginda banyak memberikan peluang kepada saya.
“Baginda juga memberikan peluang untuk
bekerja di bawahnya dan saya memiliki dua tahun indah ketika mengendalikan JDT.
Saya sentiasa bersyukur ketika mewakili JDT.
“Saya gembira kerana perkara itu telah
menemui jalan penyelesaian antara kedua-dua pihak,” katanya ketika
dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru
ini.
Sepanjang berada di bawah kendalian Gomez,
skuad Harimau Selatan berjaya bergelar juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC) 2015 dan memenangi gelaran Liga Super dua kali berturut-turut pada 2015
dan 2016.
Ketika ditanya perasaannya jika bertembung
dengan JDT pada masa akan datang, Gomez tanpa berselindung mengakui teruja
untuk menentang skuad Harimau Selatan.
“Memori di (Stadium Tan Sri Dato Haji
Hassan Yunos) Larkin masih segar dalam ingatan saya. Saya masih ingat sorakan
penyokong-penyokong dan terlalu sukar untuk saya lupakan.
“Menentang JDT, mengapa tidak? Sudah pasti
ia akan menjadi satu perlawanan mengujakan tetapi kali ini, sudah pasti saya
mahukan pasukan saya (Persib Bandung) menang. Itu sudah pasti,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan