Insa tetap hormat cabaran UiTM


PEMAIN tengah JDT, Natxo Insa menyifatkan UiTM FC mampu beri kejutan jika bersikap terlalu yakin untuk menewaskan pasukan dari Liga Perdana itu. - Foto JOHOR Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Bukan mudah untuk menewaskan pasukan yang tiada apa mahu dikejarkan.
Itu respon pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa yang menyifatkan UiTM FC mampu beri kejutan jika bersikap terlalu yakin untuk menewaskan pasukan dari Liga Perdana itu pada pertembungan pusingan ketiga Piala FA di Stadium UiTM FC, Shah Alam, malam esok.
Insa menegaskan skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail mampu menidakkan hasrat menggunung skuad Harimau Selatan jika bersikap sambil lewa apabila beraksi menentang pasukan itu.
"Jangan pandang rendah UiTM FC kerana mereka turun dengan barisan terkuat kerana bukan sahaja UiTM FC malah pasukan lain apabila menentang JDT mereka akan beraksi habis-habisan.
"Bagi persiapan menentang pasukan itu, kami perlu tumpukan aspek proses pemulihan memandang selepas megharungi jadual perlawanan yang padat dan ia penting untuk memastikan apabila kita beraksi nanti perlu konsisten.
"Saya tidak nafikan ia perlawanan sukar buat kami. Status pasukan tidak memberi sebarang makna kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Jika kami meletakkan status sebagai ukuran, itu adalah masalah besar buat kami," katanya.
Insa juga menegaskan betapa pengalaman ketika bersama kelab Levante UD pada saingan  Piala Raja Sepanyol dua musim lalu tatkala menentang pasukan kelab bawahan nyata menyukarkan dan ia juga seakan pertembungan menentang UiTM FC yang mampu beri tekanan pada JDT nanti.
Katanya, skuad Harimau Selatan harus berwaspada kerana sudah menjadi perkara biasa apabila kelab berprofil rendah mampu menumbang kelab gergasi di mana-mana liga utama di seluruh dunia dan perlu menghormati keupayaan pasukan seperti UiTM FC.
Pada aksi musim lalu, skuad Harimau Selatan membelasah skuad Lion Troops 4-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA tatkala beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Ulasan