Insa perancang terbaik JDT


PEMAIN JDT, Natxo Insa dilabel perancang terbaik pasukan setakat ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

PEMAIN kacukan, Natxo Insa muncul selaku perancang tengah terbaik buat pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas berjaya melakukan tiga hantaran gol untuk musim 2018 setakat ini.
Dengan tiga gol hantaran gol yang dilakar bekas pemain Levante itu,
Ia mengatasi pencapaian tiga rakan sepasukannya iaitu kapten pasukan, Safiq Rahim selain penyerang, Ahmad Hazwan Bakri dan pertahanan, Azrif Nasrulhaq yang masing-masing melakukan dua hantaran gol setakat ini.
Prestasi terbaik yang sedang diperagakan Natxo ketika ini sudah pasti ditagih Tan Cheng Hoe bagi membantu pasukan kebangsaan dalam usaha melakar kemenangan ke atas Mongolia pada aksi persahabatan, Khamis ini serta aksi penutup Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Beirut, Selasa depan.
Bukan saja Natxo, malah Safiq dan Ahmad Hazwan yang turut dipanggil menyertai sesi latihan skuad Harimau Malaya bakal menjadi taruhan terbaik Cheng Hoe dalam kesebelasan utama bagi misi menamatkan kemarau kemenangan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, lima pemain masing-masing melakukan satu hantaran gol iaitu dua penyerang import, Gonzalo Cabrera serta Luciano Figueroa ; pemain tengah bertahan, Hariss Harun dan juga dua pertahanan, S Kunanlan serta budak baharu JDT yang memiliki darah kacukan, La'Vere Corbin Ong.
Dengan persembahan meyakinkan yang ditunjukkan Corbin-Ong setakat ini, sudah tentu tidak mengejutkan sekiranya Cheng Hoe meletakkan pertahanan berdarah Malaysia-Barbados itu dalam kesebelasan utama untuk dua aksi terbabit.
Secara keseluruhan, bagi saingan Liga Super, anak buah Raul Longhi itu kini unggul di persada liga selepas mengutip 12 mata menerusi empat kemenangan dan meledak sembilan gol namun hanya dibolosi dua gol setakat ini.
Saingan domestik pula menyaksikan JDT sekali lagi melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA sekali gus meneruskan perjuangan dalam misi memburu kejuaraan terbabit selepas kali terakhir memenanginya pada 2016.
Bagi Piala AFC, JDT masih berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya meskipun hanya mengutip tujuh mata selepas empat perlawanan memandangkan mereka terikat dengan pendahulu Kumpulan H, Song Lam Nghe An dan pasukan di  tangga kedua, Persija Jakarta yang turut menghimpun jumlah mata sama.

Ulasan