Hazwan tingkat sentuhan pemusnah


Johor Bahru: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri belum berpuas hati dengan permainannya walaupun membantu tuan rumah menewaskan Tampines Rovers 2-1 pada aksi Kumpulan H Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin.
Bagi Hazwan walaupun golnya pada minit ke-78 memberikan kemenangan buat skuad Harimau Selatan, namun dia kecewa kerana gagal memanfaatkan deretan peluang.
“Sememangnya sasaran utama untuk mencari kemenangan selepas seri 0-0 di Singapura dulu. Jadi bila menang saya memang puas hati.
“Tetapi saya kecewa dengan persembahan sendiri kerana masih banyak yang harus diperbaiki. Malah, saya kena bekerja keras untuk memantapkan lagi corak permainan,” katanya.


Hazwan tidak menafikan dia memikul tugas besar selaku penyerang tanpa kelibat Luciano Figueroa yang diketepikan akibat kecederaan.
“Tugas selaku penyerang memang berat, tetapi tidak boleh menganggapnya sebagai membebankan. Sebaliknya perlu ada keyakinan diri dan ia terbukti apabila saya berpeluang menjaringkan gol.
“Begitupun, saya perlu meningkatkan kualiti permainan kerana dalam bola sepak kita kena sentiasa belajar dan tidak anggap sudah terbaik,” kata Ahmad Hazwan.

Ulasan