JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi menyifatkan
kemenangan 2-1 ke atas Tampines Rovers pada aksi Kumpulan H saingan Piala AFC
Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi hasil daripada
kerjasama berpasukan biarpun beraksi tanpa kelibat pemain import.
Malah katanya, komitmen tinggi dipamerkan pemain tempatan
menyaksikan mereka menguasai permainan sehingga menyukarkan kelab Singapura itu
untuk bersaing.
“Namun apabila Tampines Rovers menjaringkan gol penyamaan
menerusi sepakan penalti pada penghujung babak pertama, kami agak tertekan.
Tapi selepas rehat, kami kembali menguasai perlawanan dengan memiliki tiga
peluang terbaik menjaringkan gol.
“Sasaran tiga mata menjadi kenyataan dan saya amat berpuas hati.
Pemain layak menang kerana mereka tidak pernah berputus asa dengan mempamerkan
semangat juang tinggi untuk mencapai kemenangan,” katanya.
Longhi menegaskan benteng Tampines Rovers yang diterajui Daniel
Bennett dan Fahrudin Mustafic menggunakan pengalaman mereka untuk menghalang
beberapa percubaan berbahaya JDT, namun dua gol daripada Safawi Rasid dan Ahmad
Hazwan Bakri sudah memadai buat skuad Harimau Selatan.
Ditanya mengenai tindakannya mengeluarkan kapten Safiq Rahim
pada pertengahan babak kedua, Longhi menegaskan ia lebih kepada perancangan
taktikal kerana mahu merehatkan pemain itu untuk aksi pusingan ketiga Piala FA
menentang UiTM FC, Sabtu ini.
Beliau juga menambah penggantian pemain itu lumrah kerana
formasi babak pertama adalah 4-3-3 dan kemudian apabila memasukkan Hariss Harun
bagi menggantik Safiq, ia berubah kepada 4-2-3-1.
“Apa
yang pasti, kemenangan itu menaikkan moral pemain untuk aksi Piala FA dan kami
akan membuat persiapan rapi walaupun memiliki tempoh rehat singkat sebelum
bertandang ke Shah Alam nanti,” kata Longhi.
Ulasan
Catat Ulasan