PEMAIN import Melaka United, Yahor Zubovich
(dua dari kanan) mahu menjadikan gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai
sasaran seterusnya untuk dirobek. - Foto Mohd Badlishah Mohd Ali
MELAKA: Penyerang import Melaka United (MU), Yahor Zubovich
menegaskan nafsunya untuk merobek gawang lawan makin membuak-buak selepas
meledak tiga gol dalam aksi Liga Super setakat ini.
Justeru, penyerang kelahiran Belarus itu yang menyumbat gol
pertama ketika menentang Kelantan sebelum mencetak dua lagi jaringan ketika
bertemu Negeri Sembilan, mahu menjadikan gawang Johor Darul Ta'zim (JDT)
sebagai sasaran seterusnya untuk dirobek pada 24 Februari ini.
"Tugas sebagai penyerang adalah menjaringkan gol dan sudah
tentu saya sangat gembira dengan tiga gol yang sudah dihasilkan setakat ini.
"Malah, saya harap dapat menambah lagi jaringan bagi
membantu pasukan mencipta kemenangan termasuk menentang JDT nanti.
"Namun, saya harus akui tanpa kerjasama rakan sepasukan,
sudah pasti sukar untuk berbuat demikian," katanya hari ini.
Penyerang berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengakui pasukannya
perlu berhati-hati apabila bertandang ke Larkin.
"Walaupun JDT pasukan yang kuat, saya dan rakan sepasukan
tetap menyimpan hasrat mengejutkan juara bertahan itu," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan