JURULATIH sementara skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi
mengingatkan semua pemain serta kakitangannya bahawa ‘tiada sesiapa pun yang
lebih besar daripada kelab’.
Kenyataan Longhi yang disiarkan di laman Facebook rasmi kelab,
JOHOR Southern Tigers, hari ini dipercayai merujuk kepada tindakan penyerang
import, Jorge Pereyra Diaz yang didakwa menghilangkan diri daripada kelab itu,
kelmarin.
Longhi dilantik sebagai jurulatih sementara skuad Harimau
Selatan, selepas peletakan jawatan secara mengejut oleh ketua jurulatih Ulisses
Morais, kelmarin.
“Saya mengambil tanggungjawab ini dengan positif walaupun sedih
apabila Ulisses Morais tidak lagi bersama kami. Bagaimanapun, agenda dan polisi
kelab harus diteruskan.
“Bukan sahaja untuk menjaga falsafah dan agenda JDT, tetapi juga
yang paling mustahak adalah polisi kelab.
“Saya harus mengingatkan yang semua pemain termasuk barisan staf
perlu menghormati polisi kelab, dan tiada orang lebih besar daripada kelab. Itu
adalah keutamaan saya,” katanya.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, hari ini mengesahkan
Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah malam kelmarin di
Singapura, sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.
Ia satu lagi tamparan hebat yang terpaksa dihadapi juara Liga
Super itu dengan mereka kini menggalas misi memburu kemenangan kedua
berturut-turut dalam saingan Piala AFC berdepan Song Lam Nghe An FC, esok.
JDT
kini menghuni tangga teratas Kumpulan H, selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas
kelab Indonesia, Persija Jakarta di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 14
Februari lalu.
Ulasan
Catat Ulasan