"Tenang, JDT juga ada kelemahan"


INDRA Putra Mahayuddin mahu rakan sepasukan mengambil pendekatan tenang apabila Kuala Lumpur (KL) yang belum meledak gol bertemu juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) di Cheras esok.
Kapten KL itu percaya ketumpulan skuad ibu kota itu di depan gawang berpunca daripada kegagalan mereka mengekalkan ketenangan apabila peluang menjaringkan gol muncul.
KL mencipta banyak peluang ketika kekalahan 2-0 di tangan Selangor dan Negeri Sembilan dalam dua perlawanan pertama, tetapi penyerangnya GUilherme De Paula masih belum menemui sentuhan pembunuhnya yang menjelmakan 30 gol musim lalu.
“Saya rasa sebab utama kami belum menjaringkan gol adalah kerana kami terlalu bersemangat mahu mendapatkan jaringan,” kata Indra yang menyertai juara Liga Perdana 2017, KL musim ini dari Kelantan.
“Apabila anda mencuba dengan bersungguh-sungguh, kadang kala anda kehilangan arah.
“Ramai yang merasakan kesilapan yang kami lakukan berpunca daripada individu tetapi bagi saya, kami tewas sebagai satu pasukan dan menang sebagai satu pasukan.
“Setiap pemain memikul tanggungjawab sama rata apabila tewas dan kami tidak menyalahkan sesiapa.
“Saya harap pemain-pemain mengekalkan tumpuan mereka dan memberikan persembahan terbaik bertemu JDT, yang kita semua tahu adalah pasukan terkuat di negara ini.
“Kami akan cuba melakukan sesuatu kerana tiada apa yang mustahil dalam bola sepak. Jika kami mempunyai azam untuk menang, Insya-Allah kami akan berjaya.”
JDT sudah mengumpul enam mata daripada dua perlawanan selepas menewaskan Kedah 2-1 dan PKNP FC 3-0 di Larkin, namun jurulatih KL Fabio Marcel percaya juara liga itu mempunyai titik kelemahan mereka.
“Kami menghormati JDT, mereka kelab yang besar, tetapi ketika kekalahan kepada Muangthong United dalam Liga Juara-Juara AFC, mereka membuktikan yang mereka juga ada kelemahan,” kata Maciel.
“Di sini pasukan-pasukan terlalu memberikan ruang kepada mereka untuk bermain tetapi apabila kelab bermain secara terbuka dengan JDT, mereka akan berdepan masalah.”

Pemain sayap Zaquan Adha Abd Radzak dijangka mengisi kesebelasan utama KL selepas untuk berdepan kelab lamanya .

Ulasan