Johor Bahru: Selepas lapan bulan tidak beraksi dalam saingan
kompetitif, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengakui
dirinya seperti ‘mati hidup semula' ketika turun beraksi buat pertama kali
menentang Persija Jakarta dalam saingan Kumpulan H Piala AFC, Rabu lalu.
Malah, Farizal bersyukur kerana penantian panjang untuk kembali
beraksi sudah berakhir dan lebih manis pastinya kepercayaan pengendali JDT,
Ulisses Morais yang masih menaruh sandaran kepadanya mengawal gawang JDT pada
perlawanan itu.
"Memang rasa gugup selepas lama tidak beraksi, tetapi
galakan dan sokongan daripada rakan sepasukan yang kerap memberi kata-kata
semangat mencetus keazaman buat saya mempamerkan aksi terbaik.
"Saya hanya lakukan rutin biasa sahaja dengan mengikut arahan
dan tunjuk ajar daripada jurulatih (Khairul Azman Mohamad) sebelum turun
beraksi.
"Malah saya mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lawan.
Alhamdullilah semuanya berjalan baik dan kami mendapat keputusan positif dengan
menewaskan kelab Indonesia itu 3-0," katanya hari ini.
Tempoh penggantungan yang ditetapkan oleh Konfedarasi Bolasepak
Asia (AFC) ke atas Farizal sepatutnya berakhir pada 8 Jun 2018, namun badan
induk itu memendekkan tempoh hukuman berkenaan yang berakhir 10 Februari lalu.
Farizal juga menegaskan apa yang terjadi ketika insiden dalam
pertemuan menentang kelab dari Filipina, Ceres Negros FC, pada 31 Mei 2017
sehingga dia dilayangkan kad merah sebagai sejarah hitam dan menjadi iktibar
kepada dirinya supaya lebih bersabar dan tidak cepat melatah.
"Biarlah ia menjadi sejarah dan saya sudah melupakan detik
hitam itu. Kini tumpuan saya untuk memberi sepenuh komitmen buat JDT
mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC."
Ditanya siapa yang berhak diturunkan mengawal gawang JDT ketika
menentang Melaka United dalam aksi Liga Super, 24 Februari ini, Farizal
bagaimanapun menyerahkan kepada jurulatih.
“Siapa
yang diturunkan terpulang kepada jurulatih dan jika diberi peluang sudah pasti
saya akan beri persembahan terbaik. Lagipun, saya dan Izham (Tarmizi Roslan)
serta Haziq (Nadzli) kerap bekerjasama dalam sesi latihan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan