Rombakan besar JDT pada Jun


PENYERANG JDT, Luciano Figueroa cuba menanduk bola ke gawang ketika dicabar oleh penjaga gol Song Lam Nghe An dalam perlawanan Piala AFC di Vinh, Vietnam semalam. JDT kalah 0-2. JST

JOHOR BAHRU 1 Mac - Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui mereka sedang berdepan dengan masalah namun menegaskan tidak panik dengan krisis semasa yang sedang melanda pasukan itu sebaliknya akan menyusun semula pasukan melalui rombakan besar-besaran pada Jun ini.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards berkata, buat masa ini pihaknya hanya akan menggunakan pemain sedia ada termasuk menyerapkan beberapa pemain daripada JDT II ke dalam JDT untuk mengharungi saingan musim ini dalam semua peringkat pertandingan.

“Itulah yang sedang kami lakukan sekarang. Kami tidak akan berputus asa dan kami masih yakin dengan misi-misi kami. Kami akan terus berjuang sepanjang masa,” katanya menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.

Walaupun mengakui pemergian bekas ketua jurulatih Ulisses Morais dan penyerang prolifik dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz menimbulkan masalah besar kepada pasukan itu ketika ini namun Edwards berjanji JDT akan melakukan kebangkitan semula selepas ini.

“Kami sudah mengetahui strategi bagaimana untuk memperbaikinya dan memantapkan pasukan iaitu dengan melakukan sedikit pertukaran posisi pemain dalam tempoh jangka pendek ini.

“Selepas itu kami akan melakukan pertukaran pemain yang lebih besar pada Jun serta satu lagi pertukaran pada bulan Disember nanti. Kelab menyediakan peruntukan dan buat masa sekarang ini kami akan menggunakan pasukan yang kami ada serta cuba memanfaatkan beberapa pemain luar negara yang sedang bermain untuk JDT II bagi membantu kami,” tambahnya.

JDT tewas 0-2 kepada kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC dalam perlawanan Piala AFC 2018 di Stadium Vinh semalam, dua hari selepas Morais mengumumkan peletakan jawatan hanya selepas sembilan bulan berkhidmat dengan memberikan alasan masalah kesihatan keluarga.

Sehari selepas itu Pereyra Diaz pula meninggalkan kelab tersebut ketika berada di hotel penginapan pasukan di Singapura pada pukul 12 tengah malam Ahad lalu sebelum pasukan ke Vietnam.

Ulasan